Penduduk di kawasan sempadan negara perlu bersatu hati banteras jenayah

dtk-nizam.jpg

Nizam bersama wakil agensi kerajaan terlibat dan sebahagian penduduk kampung.

Kongsi Bersama

TAWAU: Penduduk berdekatan kawasan sempadan negara perlu bersatu hati bagi memastikan kampung masing-masing berada dalam keadaan aman dan selamat serta bebas ancaman aktiviti jenayah.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, setiap ahli masyarakat berperanan menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat apabila berlaku situasi mencurigakan.

Katanya, penduduk di Kampung (Kg) Batu Payung, Kg. Tinagat dan Kg. Membalua yang terletak di sempadan negara dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas adalah contoh terbaik mempunyai kesepakatan menjaga kampung mereka.

“Ia terbukti kerana penduduk di situ telah memberikan kerjasama dengan memberi maklumat kepada pihak berkuasa dan keselamatan sehingga dapat mematahkan aktiviti jenayah di kawasan mereka.

“Banyak kejayaan pasukan keselamatan menerusi bantuan penduduk di kawasan berkenaan termasuklah menggagalkan aktiviti penyeludupan barang terlarang dan penyeludupan manusia,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui pada Program JIWA MADANI anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di Kg. Batu Payung di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, perkampungan di kawasan sempadan negara terdedah menjadi tumpuan penjenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan barang terlarang dan kemasukan pendatang tanpa izin (PTI).

Terdahulu Nizam memuji usaha penganjuran program berkenaan yang berjaya sampai ke golongan sasar dan berharap ia diteruskan khususnya memberi kefahaman mengenai tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan kampung oleh pihak berkuasa.

Program yang disertai Majlis Keselamatan Negara (MKN) berupaya memupuk semangat kerjasama tinggi antara pasukan keselamatan dan penduduk kampung untuk saling menyalur maklumat berkaitan keselamatan.

Malah program yang turut disertai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menerangkan pelbagai bantuan kewangan disalurkan kerajaan kepada rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menyebabkan rakyat lebih memahami langkah dilaksana kerajaan.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Tawau, Azuary Abdul Azis berkata, program berkenaan bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada semua masyarakat mengenai inisiatif dan dasar kerajaan hari ini.

Katanya, ia adalah peluang untuk agensi kerajaan turun padang menyantuni masyarakat secara terus supaya mereka menerima maklumat yang betul dan sahih.

“Kita akan memberikan maklumat secara terus kepada rakyat daripada agensi-agensi kerajaan yang turut berkolaborasi dalam program ini.

“Jabatan Penerangan Tawau akan menjalankan program ini di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini dari semasa ke semasa,” katanya. – Penerangan Gagasan Rakyat

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top