Penduduk Di Kawasan Cerun Bukit Perlu Sentiasa Waspada

PM-tanah-runtuh.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Penduduk yang tinggal di kawasan cerun bukit yang berisiko tinggi berlaku kejadian tanah runtuh dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika musim hujan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmey Yahya berkata, pihaknya turut mengarahkan semua pejabat dan majlis daerah untuk memantau kawasan yang berisiko dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, peralihan monsun bermula dari sekarang sehingga bulan November ini diramalkan akan membawa kuantiti hujan yang agak tinggi di Sabah jadi semua pihak harus sentiasa prihatin dan berwaspada.

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, pada masa ini pihaknya masih menunggu laporan daripada Pusat Gerakan Operasi Bencana (PKOB) yang terlibat bagi membolehkan mereka menggerakkan jentera dan bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

“Selepas taklimat pembangunan negeri Sabah di Menara Kinabalu yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tadi, beliau sendiri mahu melawat kejadian tanah runtuh yang membabitkan rumah penduduk kampung di Kampung Madsiang ini.

“Saya difahamkan bantuan sewajarnya akan dihulurkan kepada mangsa terlibat,” katanya kepada pemberita semasa melawat kejadian tanah runtuh di Kg Madsiang, Penampang semalam.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu berharap mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir dan tanah runtuh kelmarin dapat bersabar dan redha dengan ujian yang melanda.

Kelmarin, dua kejadian tanah runtuh berlaku di Kg Madsiang dan kuarters tapak pembinaan Forest Hill, Penampang yang ia mengakibatkan tiga individu maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku.

Mangsa yang meninggal dunia termasuk seorang ibu yang sarat mengandung dan bayi perempuannya berusia lapan bulan bersama seorang lagi kanak-kanak berusia lima tahun.

Pada 4 September lalu, kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Kampung Kopungit hingga menyebabkan stor simpanan ubat Kementerian Kesihatan musnah.

Akibat kejadian tanah runtuh itu, lima bangunan Hospital Queen Elizabeth dekat sini dikosongkan sebagai langkah keselamatan. Ia termasuk stor ubat dan consumable, wad perubatan kronik, wad rehab, Klinik Tibi dan Sleep Lab.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top