SIPITANG: Dakwaan seorang kanak-kanak lelaki hilang akibat diculik dan dikaitkan dengan ‘pengait’ atau sindiket mencuri organ manusia di Kampung Kelangsat, sehingga tular di media sosial kelmarin adalah tidak benar.
Sebaliknya, penduduk kampung mendakwa bahawa kanak-kanak berusia 10 tahun itu hilang kerana disembunyikan makhluk halus sebelum ditemui kira-kira pukul 9 malam di belakang rumah ketua kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya ada menerima maklumat bahawa seorang kanak-kanak hilang dalam pada Sabtu lalu.
Katanya, terdapat satu kenyataan yang tular di media sosial semalam bahawa kanak-kanak terbabit pada awalnya didakwa diculik sehingga menimbulkan kegusaran orang awam di daerah ini.
“Sebaik menerima maklumat itu, sepasukan anggota segera dikerah ke kampung berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Hasil maklumat penduduk, kejadian didakwa berlaku kira-kira pukul 6.30 petang bagaimanapun kanak-kanak itu ditemui kira-kira pukul 9 malam di kawasan belakang rumah ketua kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini. – Borneo Today