KUALA LUMPUR: Tempoh perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Sabah disyorkan minimum 11 hari sahaja.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mencadangkan agar perjalanan kempen dipendekkan susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 ketika ini terutamanya di Sabah, kerana Sabah terdedah kepada risiko jangkitan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September lepas.
“Penduduk Batu Sapi akan terdedah kepada kemasukan orang luar yang akan datang berkempen siang dan malam untuk bertemu mereka.
“Keutamaan orang politik untuk menang kerusi. Petugas parti yang berkempen dikhuatiri kurang memberi perhatian kepada soal lain dan terbukti pada PRN baru-baru ini,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, PRN Sabah adalah antara punca utama penularan mendadak kes positif Covid-19.
Wan Ahmad juga berharap, rakyat di Batu Sapi mengikuti SOP yang ditetapkan sepanjang Kempen PRK nanti.
“Jika rakyat degil dan tidak ambil peduli pematuhan SOP yang ditetapkan, pasti jangkitan ini sukar dikawal.
“Banyak perkara yang berlaku ketika rakyat berkumpul dalam tempoh berkempen dan hari pengundian adalah diluar kawalan SPR, KKM dan Polis,” katanya.
PRK Batu Sapi diadakan kerana kematian penyandang tersebut Datuk Liew Vui Keong pada 2 Ogos lepas, di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu. Beliau juga adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) ketika pentadbiran Pakatan Harapan. -SuaraTV