Pendekatan Pembangunan Sukan Moden Perlu – Ellron

elron.jpg

Ellron bergambar bersama para peserta selepas penutupan Simposium Pemantapan Sukan Para.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pendekatan pembangunan sukan moden adalah perlu bagi meningkatkan lagi sukan di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata demikian dalam ucapan penutupannya pada Simposium Pemantapan Sukan Para yang berakhir di Hotel Hilton di sini pada Selasa.

“Kementerian ini selaras dengan trend pembangunan sukan moden bukan sahaja menitikberatkan perancangan yang tepat serta pelaksanaan yang kemas dan cekap tetapi juga penggunaan sains sukan yang telah banyak kali saya tekankan sebelum ini.

“Dalam era moden dan serba canggih ini, penggunaan sains sukan telah membuktikan keberkesanannya. Oleh itu, saya merayu kepada semua jurulatih untuk mengambil serius perkara ini. Percayalah, tanpa penggunaan sains sukan, atlet kita akan jauh ketinggalan dan tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Majlis Sukan Sabah dan para peserta atas usaha menjayakan program tersebut.

“Syabas Majlis Sukan Sabah dan para peserta, simposium ini bertujuan untuk melihat secara menyeluruh usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menambah baik pengurusan kontinjen Para Sukma negeri dan membantu melahirkan atlet berkaliber untuk negara amnya.

“Kerjasama antara jabatan dan persatuan berkaitan ini diharapkan dapat membantu kita mengukuhkan lagi kontinjen negeri dalam misi mempertahankan gelaran keseluruhan pada Para Sukma di Sarawak tahun depan,” katanya.

Tambahnya, kementerian akan terus menyokong semua keperluan Majlis Sukan Sabah dan mendengar cadangan serta idea untuk menambah baik lagi dasar perancangan sukan di negeri ini.

Seramai 160 peserta terdiri daripada jurulatih Para negeri, pegawai kementerian serta atlet Para mengambil bahagian dalam program dua hari anjuran Majlis Sukan Sabah itu.

Ia dikendalikan oleh panel penceramah daripada Majlis Sukan Negara, Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan Am , dan pegawai-pegawai dari Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Sabah. – Harian Ekspress

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top