Pendekatan Lama Ekonomi Berasaskan Negeri Perlu Ditukar Kepada Wilayah, Kata Abang Johari

abang-johari.jpg
Kongsi Bersama

KUCHING: Kerajaan Persekutuan perlu menggunakan pendekatan pembangunan ekonomi baharu berasaskan wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan merujuk semula kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg, berkata ini kerana saiz negeri Sarawak adalah besar, maka struktur ekonomi negeri ini juga berlainan jika berbandingkan dengan Semenanjung.

“Kita (Sarawak) berasaskan kepada sumber dan keunikan…jadi sebab itu saya katakan ada berhubung kait dengan MA63 yang mengatakan Malaysia terbentuk daripada tiga wilayah sebab dahulu adalah Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Jadi pendekatan ekonomi kita mesti berteraskan wilayah dan ia berlainan kalau mengikut negeri kita (Sarawak)…kawasan Baram sebesar Pahang, jadi diikutkan mesti diubah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas pengumuman berkenaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lalu.

Jelas Abang Johari, buat masa ini pendekatan ekonomi masih menggunakan pendekatan lama yang membahagikan peruntukan pembangunan mengikut negeri-negeri.

Dalam pengumuman RMK12, Ismail Sabri antara lain turut berkata kerajaan Persekutuan komited untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak dalam MA63, termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan. – FMT

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top