KOTA KINABALU : Kerajaan Persekutuan perlu mengambil pendekatan baharu dan serius dalam merancang pembangunan di Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian serta tindakan yang serius bukan sahaja kerana kedua-dua wilayah tersebut besar berbanding negeri-negeri di Semenanjung tetapi juga kerana kedua-duanya amat jauh ketinggalan dari segi aspek pembangunan.
Menurut Bung pelaksanaan tender terbuka dalam perancangan pembangunan di Sabah dan Sarawak yang menjadi amalan sebelum ini kini sudah tidak relevan kerana ‘sesuatu projek memerlukan masa yang lama untuk dilaksanakan’.
“Sabah dan Sarawak mempunyai keluasan agak besar berbanding negeri negeri lain… dengan itu sudah tentu peruntukan untuk tujuan pembangunan tidak boleh disamakan dan sebab itu juga mungkin tender terbuka sudah tidak sesuai.
“Kerajaan Persekutuan kena lantik kosultan yang (prosesnya) memakan masa tiga ke enam bulan, selepas dilantik konsultan, proses membuat reka bentuk pula mengambil selama setahun.
“Selepas itu tender terbuka selama satu tahun dan dalam tempoh tiga tahun setengah baru jalan satu projek, jadi bagiamana kita boleh mengwujudkan pembangunan yang seimbang antara wilayah,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasig Titah Yang DI-Pertuan Agong Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, mengingatkan kerajaan pusat , sekiranya perkara tersebut sukar dilaksanakan, peruntukan sebanyak RM5 bilion setahun perlu diberikan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menguruskan dan merancang pembangunan yang menjadi keutamaan untuk dilaksanakan
Menurut beliau saranan itu wajar dipertimbangkan memandangkan peruntukan yang diberikan setiap tahun tidak dapat digunakan sepenuhnya dan hanya dapat dilaksanakan sekitar 38 peratus setiap tahun.
“RM5 bilion itu sedikit sahaja terpakai dan dibawa ke hadapan lagi…akan datang umum lagi RM5 bilion. Padahal yang terpakai hanya RM1 bilion lebih, jadi sampai bila keadaan ini berlarutan ” tegasnya yang mengingatkan kerajaan jangan mempermainkan perasaan penduduk di Sabah dan Sarawak.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri kerana bersetuju meluluskan fasa satu Pakej Lebuh Pan Borneo berjumlah 19 pakej untuk Sabah.
“Seharusnya keputusan ini telah lama diambil tindakan kerana berbanding dengan negeri jiran Sarawak Lebuh Raya Pan Borneo di mana sudah hampir 85 peratus siap tapi di Sabah fasa satu baru bermula dan inilah antara kekangan yang melambatkan proses pembangunan di Sabah,” katanya.
Sehubungan itu Bung meminta kerajaan persekutuan supaya mengambil perhatian yang serius untuk memberikan peruntukan kepada negeri Sabah khususnya dalam penyediaan sistem perhubungan jalan raya yang agak jauh ketinggalan.