KOTA KINABALU: Cadangan untuk melaksanakan proses datafkasi pekerja asing dan warga asing tanpa izin di Sabah masih dalam kajian dan tiada entiti ditugaskan mengumpul maklumat daripada mana-mana individu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata Jawatankuasa Khas Pekerja dan Warga Asing Tanpa Dokumen di Sabah masih belum membentangkan laporan penuhnya kepada Kabinet Sabah.
“Oleh itu, kerajaan Sabah tidak menugaskan mana-mana jabatan, agensi atau badan bukan kerajaan untuk mengumpul data.
“Saya mendapat laporan ada kumpulan yang menjalankan aktiviti ini, mengeluarkan dokumen, malah mengenakan caj sehingga RM300 seorang.
“Saya meminta orang ramai tidak terpedaya dengan golongan oportunis ini, yang hanya mahu mengambil kesempatan terhadap pekerja dan warga asing tanpa dokumen,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, satu tangkap layar status WhatsApp tular secara meluas di media sosial, mendakwa ‘pendaftaran pendataan’ sedang dijalankan di Inanam, dan dokumen dikeluarkan bersama gambar warga asing tanpa dokumen yang mendaftar dengan harga RM300 setiap seorang.
Dr. Jeffrey berkata, Kerajaan belum memutuskan untuk mengeluarkan sebarang kad kepada warga asing dan jawatankuasa khas itu hanya akan mencadangkan pendataan buat masa ini, dengan tindakan seterusnya untuk menangani masalah pekerja dan warga asing tanpa dokumen akan ditentukan kemudian.
“Saya memberi amaran kepada mana-mana entiti, khususnya mereka yang terlibat dalam sindiket terbaharu ini, supaya menghentikan penipuan dengan segera.
“Mereka yang telah ditipu oleh sindiket ini perlu membuat laporan polis supaya siasatan yang sewajarnya dapat dijalankan dengan segera,” katanya.