Pendaftaran Surat Beranak Di Rumah Perlu Ada Laporan Polis – JPN Sabah

JPN-Sabah.jpg
Kongsi Bersama

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan arahan baharu berhubung prosedur pendaftaran kelahiran dan kelahiran mati.

Pengarah JPN Sabah Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, prosedur baharu yang ditetapkan itu bagi memastikan semua permohonan pendaftaran kelahiran dan kelahiran mati yang berlaku di rumah (bukan di hospital atau klinik) dilaporkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.

Katanya, pihak pemaklum perlu membuat laporan kepada PDRM sebelum hadir  ke pejabat JPN terdekat dengan membawa laporan polis berkenaan dan Borang Permohonan Daftar Kelahiran (Borang A).

“Sebelum ini, semua kelahiran dan kelahiran mati yang berlaku di rumah tidak memerlukan pemohon untuk membuat laporan polis.

“Prosedur baharu ini dilaksanakan bagi meningkatkan elemen kawalan terhadap pengeluaran dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, pihak JPN Negeri Sabah turut memaklumkan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mengenai pelaksanaan arahan baharu berkenaan.

Menurutnya, sebarang pertanyaan berhubung arahan baharu itu boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan (PPP) JPN Sabah di talian 088-488300, 088-488301 atau 088-488365. – Utusan Borneo

 

Artikel ini disiarkan pada Jumaat, 19 Mac 2021.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top