Pencerobohan Sempadan: Jangan Pandang Ringan Aktiviti Ketenteraan China dan AS – Salleh

ssk.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak (gambar) meminta kerajaan untuk tidak memandang ringan insiden pencerobohan sempadan yang dilakukan oleh China kerana ia merupakan satu pencabulan kedaulatan sesebuah negara.

Menurutnya tindakan China itu merupakan satu mesej jelas bahawa negara itu serius mahu menguasai perairan Laut China Selatan.

“Kehadiran secara besar-besaran iaitu hampir 100 buah kapal China yang dilihat memasuki perairan Laut China Selatan yang dituntut Filipina memberi mesej jelas bahawa China serius mahu menguasai perairan Laut China Selatan tanpa menghiraukan isu pencerobohan dan pencabulan kedaulatan negara serantau.

“Malaysia juga tidak terkecuali daripada kesan pencerobohan, khususnya Sabah dan Sarawak. Misalnya Pada 1 Jun lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  telah mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional. Selepas empat hari insiden 16 pesawat China memasuki ruang udara Malaysia, kapal pengawal pantai China pula di dakwa berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak.

“Pencerobohan seumpama ini tidak boleh dipandang ringan dan insiden ini seharusnya menjadi peringatan bagi negara kita agar sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi (semalam).

Beliau yang juga merupakan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata tindakan China itu suatu yang membimbangkan dan kerajaan digesa untuk segera mengeluarkan nota bantahan.

“Saya melihat tindakan kerajaan China menunjukkan ‘kekuatan tentera atau penguasaan’ di kawasan perairan Laut China Selatan sebagai satu perkembangan yang amat membimbangkan, Malaysia perlu mengeluarkan nota bantahan diplomatik kepada negara China dan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung aktiviti ketenteraan China di perairan Laut China Selatan kebelakangan ini.

“Malah keputusan terbaharu kerajaan China untuk menetapkan semua kapal asing yang memasuki Laut China Selatan dengan melaporkan butiran tertentu termasuk muatan kargo dengan pihak berkuasa maritim China akan mengundang pelbagai reaksi negatif.

“Apa juga aktiviti ‘membuli’ daripada segi ketenteraan atau military bullying tidak seharusnya berlaku, walaupun isu ini agak rumit tetapi saya percaya perkara ini masih boleh diselesaikan melalui saluran diplomatik,” tegasnya pula.

Mengulas lanjut, Salleh turut menyelar tindakan Amerika Syarikat yang disifatkan sebagai provokasi sehingga mengancam keselamatan Malaysia dan rantau Asia.

“Saya berpendapat bahawa apa juga konflik antara kuasa besar tidak seharusnya menjadikan kawasan rantau ini sebagai proxi untuk menunjukkan kekuatan ketenteraan terutama kawasan Laut China Selatan.

“Walaupun niat yang baik untuk memastikan laluan perdagangan di perairan Laut China Selatan selamat tetapi kehadiran kapal laut dan udara tentera Amerika Syarikat secara besar-besaran untuk mengadakan latihan kebebasan navigasi di Laut China Selatan dilhat oleh kuasa besar ekonomi negara China sebagai provokasi dan ancaman keselamatan.

“Berikutan itu, China mula bertindak balas dan seterusnya cuba menguasai kawasan perairan Laut China Selatan dengan mengenakan peraturan baharu kapal-kapal kargo yang melintasi Laut China Selatan. Tentu sekali kita berharap kedua-dua negara ini dapat ‘restrain’ daripada melakukan kegiatan yang boleh mengugat keselamatan dan keamanan serantau,” ujarnya pula.

Salleh diakhir kenyataan menggesa agar kedua-dua negara besar itu berhenti menjadi Laut China Selatan sebagai zon perang dan berhenti dari melakukan sebarang provokasi.

“Tindakan China dan AS itu pasti memberi impak yang serius kepada isu keselamatan di rantau ini, malah ia juga merupakan ancaman terhadap kebebasan perairan antarabangsa dan negara serantau kerana kedua-dua negara superpower ini yang mempunyai kekuatan tersendiri.

“Tidak ada keuntungan kedua-dua negara tersebut bertelagah atau menjadikan Laut China Selatan sebagai zon perang. Kedua-dua negara perlu berlembut dan tidak melakukan provokasi yang boleh mengundang peperangan. Apa yang penting kedua-dua besar itu menghormati kedaulatan negara-negara rantau ini termasuk Malaysia,” katanya lagi. – Utusan Borneo


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top