Pencerobohan China: Jeffrey Gesa Segera Hantar Bantahan Diplomatik

jeffrey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu segera menghantar bantahan diplomatik kepada China dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan tindakan negara itu menceroboh masuk sempadan negara di perairan Laut China Selatan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, sejak kebelakangan ini kapal China kerap menceroboh perairan negara dan jelas menunjukkan China bersikap biadap dan tidak hormati negara jiran.

“Justeru, kerajaan perlu memanggil duta besar China di Malaysia dan seterusnya meminta mesyuarat Majlis Keselamatan PBB diadakan dengan kadar segera bagi mencari kaedah penyelesaian terhadap konflik ketenteraan di Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jika Malaysia tidak bertegas tentang isu pencerobohan, ia memberi petanda bahawa Malaysia berasa takut dan terancam dengan tindakan China.

“Biarpun China rakan dagangan terbesar Malaysia tetapi kita akan berhadapan dengan ketidakstabilan sekiranya gagal mempertahan kedaulatan negara.

“Kita tidak boleh terus berdiam diri dengan tindakan pencerobohan terbaharu ini. Biarpun aktiviti dagangan kita dengan China pada tahap yang baik namun ia tidak membawa apa-apa makna jikaperlu sentiasa dalam keadaan berwaspada dan takut kehilangan wilayah kita pada kemudian hari.

“Malah, jika Malaysia tidak bersuara sekarang, negara lain akan menganggap kita berdiam diri selaku proksi kepada China,” katanya.

Jelas beliau, Malaysia tidak perlu berpihak kepada mana-mana negara kuasa besar demi kestabilan politik dan keselamatan ekonomi negara.

Dalam pada itu, kerajaan persekutuan diingatkan untuk meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraan negara bagi melindungi wilayah Sabah dan Sarawak.

“Tindakan pesawat tentera China memasuki ruang udara Malaysia pada Jun tahun ini cukup untuk memberi peringatan kepada kita agar bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada masa hadapan.

“Jika perairan Laut China Selatan jatuh ke tangan China, wilayah Sabah dan Sarawak akan menjadi sasaran utama untuk diserang. Ketika ini, kita rasa cukup terdedah kepada bahaya.

“Maka, Kerajaan Persekutuan perlu mengambil pendirian yang tegas bagi melindungi wilayah yang berada dalam Malaysia ini biarpun negara terpaksa berhadapan dengan cabaran ekonomi pada jangka masa pendek.

“Jika China bersalah maka mereka perlu dipersalahkan. Kita tidak boleh lagi membiarkan China memasuki ruang udara dan perairan kita. Negara kuasa-kuasa besar termasuk negara Barat perlu berhenti menjadikan wilayah kita sebagai proksi untuk mereka berperang sesama sendiri,” katanya.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah itu berkata, sekiranya kuasa besar barat dan China berbalah antara satu sama lain, selesaikan perbalahan itu sesama sendiri.

“Jangan jadikan Laut China Selatan untuk tunjuk siapa lebih berkuasa.

“Beri ruang kepada rakyat di perairan Laut China Selatan menentukan hala tuju dan masa hadapan sendiri dan bukannya ditentukan oleh sesiapa terutama entiti luar yang mendakwa mereka sebagai ‘abang besar’ kepada Malaysia,” katanya.

Jumaat lalu, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, insiden pencerobohan perairan negara melibatkan kapal daripada China telah berlaku sejak 2013 dan terdapat peningkatkan aktiviti tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Abdul Rahman mengulas tentang laporan beberapa portal pertahanan antarabangsa yang mendakwa terdapat sejumlah kapal Pengawal Pantai China menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Insiden itu berlaku tidak sampai 24 jam, TUDM melakukan latihan bersama Amerika Syarikat (AS) apabila dua kapal China dengan kod CCG 5202 dan CCG 6307 dilihat bertindak biadab memasuki kawasan perairan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti. – UTUSAN ONLINE


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top