Pencapaian Warisan Di Johor Bakal Beri Kesan Kepada Penyokong Di Sabah, Kata Penganalisis

warisan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Penganalisis politik berpendapat, keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor khususnya kerusi ditandingi Warisan bakal mempengaruhi kekuatan parti itu di negeri asalnya, Sabah.

Dr Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, keputusan PRN Johor akan dijadikan suatu peristiwa penting oleh penyokong Warisan yang pastinya mahu melihat kejayaan dicapai.

Bagaimanapun, katanya, PRN Johor juga mungkin menjadi “titik perubahan” kepada tahap sokongan penyokong asal Warisan di Sabah, terutama jika mereka gagal memenangi sebarang kerusi.

“Jika Warisan berjaya di Johor, ia juga ‘turning point’ kepada penyokong mereka di Sabah dan mereka akan terus menyokong kerana keyakinan bahawa keputusan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung adalah tepat.

“Namun jika Warisan gagal, ia pastinya jadi titik permulaan keraguan terhadap hala tuju perjuangan Warisan.

“Ia sama seperti kes Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee yang keluar daripada BN (Barisan Nasional) dan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi ketika itu (2010). Apabila tidak menang, persepsi umum terhadap nama beliau terus menjunam dan implikasinya pada PRU (Pilihan Raya Umum) selepas itu, parti dia kalah terus,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, PRN Johor itu menjadi medan terbaik Warisan untuk mengatur strategi yang lebih baik pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya, pencapaian Warisan pada PRN Johor tetap akan memberi kesan kepada penyokong mereka di Sabah, sama ada momentum mereka meningkat atau sebaliknya.

“Peluang bertanding dalam PRN Johor ialah peluang terbuka kepada semua parti untuk mengukur populariti dan menilai penerimaan rakyat terhadap parti mereka.

“Inilah medan terbaik untuk mengatur strategi yang lebih baik pada masa akan datang seperti dilakukan oleh Warisan yang bertanding enam kerusi di Semenanjung sebagai permulaan.

“Maka keputusan menang atau kalah di Johor akan mempengaruhi kekuatan dan harapan Warisan sama ada lebih besar atau kecil di Sabah menjelang PRU15.

“Kalau menang besar, Warisan akan meningkatkan momentum di Sabah. Namun kalau kalah, maka ramai penyokong mereka akan meninggalkan parti dan menyertai parti lain yang lebih berpeluang untuk menang,” katanya.

Warisan yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat penampilan pertama mereka pada PRN Johor selepas membuat keputusan untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

Kerusi yang akan ditandingi parti yang dilahirkan di Sabah itu adalah Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top