Penari cilik Sabah bersinar di Tarian Piala Dunia, bawa pulang 3 pingat emas

penari-cilik.jpg

Duta Besar Malaysia ke Republik Czech Suzilah Mohd Sidek (empat, kiti) bersama penari-penari cilik SK St Agnes, Kota Kinabalu. (Gambar ihsan daripada Suzilah Mohd Sidek/Bernama)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Penari cilik dari Sabah berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tiga pingat emas di pentas akhir Tarian Piala Dunia (DWC) di Prague, Republik Czech.

Para pelajar dari empat sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Mutiara, SK St. Agnes, SK Sri Gaya, dan SK Bundu berjaya menambat hati para juri dengan persembahan memukau, sekali gus membawa pulang dua pingat perak dan dua pingat gangsa menerusi pertandingan tarian antarabangsa bagi semua kategori yang diadakan di Pusat Kongres Prague.

Tahun ini, seramai 27 pelajar dari Malaysia berusia 11 dan 12 tahun bersaing dengan 3,750 penari dari 67 negara di pentas akhir DWC yang berlangsung dari 27 Jun hingga 6 Julai.

SK Mutiara menggondol pingat emas dalam kategori Solo Nasional dan Budaya Rakyat Kanak-Kanak, manakala SK Sri Gaya merangkul emas dalam kategori Kumpulan Kecil Nasional dan Budaya Rakyat Kanak-Kanak.

SK St Agnes turut menyumbang pingat emas dalam kategori Duet/Trio Nasional dan Budaya Rakyat Kanak-Kanak.

Selain itu, SK Mutiara turut memenangi pingat perak dalam kategori Duet Kanak-Kanak/Trio Kebangsaan dan Budaya Rakyat, Kategori Kanak-Kanak Kumpulan Kecil Kebangsaan dan Budaya Rakyat (gangsa) serta kategori Budaya Rakyat Kebangsaan (Lelaki) Kanak-kanak Solo (gangsa). SK St Agnes juga menggondol pingat perak dalam kategori Solo Kebangsaan dan Budaya Rakyat.

Guru-guru dan ibu bapa berbangga dengan pencapaian kali ini kerana mereka bekerjasama mengumpul dana bagi menghantar penari berbakat itu ke Prague bagi memenuhi impian mereka bertanding di pentas akhir DWC – Olimpik Tarian.

Ketua rombongan, Masdi Ahmad Mus berkata kerja keras para pelajar dan guru selama beberapa bulan akhirnya membuahkan hasil apabila mereka cemerlang di pentas antarabangsa.

“Semua penari berlatih setiap hari demi kejohanan kali ini. Mereka telah membuat persiapan rapi untuk memberikan persembahan yang terbaik.

“Kami sangat gembira dan bersyukur atas kemenangan tiga pingat emas di DWC World Finals. Semua pengorbanan dan usaha guru serta pelajar akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya kepada Bernama.

Masdi, yang juga Penolong Kanan Kokurikulum di SK Mutiara berkata ibu bapa dan guru terlibat secara aktif dalam persiapan sejak Mac, selepas berjaya mewakili Malaysia dengan memenangi pemilihan peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Bagi SK Mutiara, seramai lapan pelajar diiringi lapan guru memerlukan kira-kira RM300,000 untuk menampung semua perbelanjaan termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makanan.

Sokongan dari ahli politik dan pemimpin komuniti, syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu terbukti penting dalam merealisasikan impian pelajar, pihak sekolah dan ibu bapa apabila mereka berjaya mengumpulkan RM235,000.

“Kami terpaksa menanggung hutang untuk ke Tarian Piala Dunia. Apabila kembali ke Sabah nanti, kami akan mengadakan pelbagai aktiviti termasuk jualan untuk mengutip dana bagi membayar hutang,” katanya.

Ini adalah penyertaan kedua SK Mutiara di pentas akhir DWC. Mereka pernah memenangi pingat emas pada 2019.

Sementara itu, guru dari SK Bundu Katres Kuntiw, berkata tahun ini dua penari dari sekolah itu layak ke pentas akhir DWC tetapi hanya seorang yang diterbangkan ke Prague kerana kekangan kewangan.

“Kami mengutip dana dari wakil rakyat dan orang ramai. Berikutan dana tidak mencukupi untuk menampung dua penari, maka hanya seorang penari diterbangkan ke Prague.

“Tahun lepas, penari dari SK Bundu juga layak ke DWC World Finals di Portugal. Akibat tiada dana, kami terpaksa melepaskan peluang beraksi di pentas antarabangsa. Tahun ini, kami gigih mengumpul dana untuk menghantar sekurang-kurangnya seorang penari ke Prague,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Seorang penari muda yang mewakili SK Bundu mempersembahkan tarian tradisional Murut menerusi kategori Solo Nasional dan Budaya Rakyat Kanak-Kanak, menduduki tempat kelima. Pelajar Tahun 6, Pearl Cassandra Traver Ingging hampir memenangi pingat gangsa dengan perbezaan hanya 0.11 mata.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Republik Czech, Suzilah Mohd Sidek berkata para penari cilik Malaysia sangat berbakat.

“Kami di Prague bertuah kerana berpeluang menyaksikan persembahan hebat peserta Malaysia, selain terharu dengan kemenangan mereka dalam setiap kategori yang mereka bertanding.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada guru-guru mereka yang terlibat dalam mencungkil bakat, melatih dan mencari dana bagi meneruskan perjuangan mereka sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top