KUALA LUMPUR: Peguam kepada waris Kesultanan Sulu mendakwa aset Malaysia di 169 negara masih berada dalam risiko dirampas walaupun mahkamah Perancis mengarahkan tindakan penangguhan.
Ketua peguam bersama bagi waris itu, Paul Cohen, memberitahu Reuters, bahawa arahan penangguhan hanya terpakai di Perancis dan bukannya di negara lain yang menandatangani konvensyen timbang tara New York.
Peguam itu mendakwa, penganugerahan timbang tara yang dikeluarkan pada Feb, di Perancis, sah di semua negara yang menandatangani konvensyen terbabit.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia berkata, penganugerahan timbang tara yang dilakukan tidak sah dan tidak boleh dikuat kuasakan kerana melanggar kedaulatan negara.
Waris Sulu memohon menguat kuasakan penganugerahan USD14.9 bilion sebagai pampasan terhadap Sabah, yang kini sebahagian dari Malaysia.
Minggu lalu, writ rampasan dikeluarkan terhadap dua unit Petronas berpangkalan di Luxembourg, yang disifatkan sitaan itu sebagai “tidak berasas” dengan syarikat sudah melupuskan aset mereka.
Peguam waris Sulu, berkata syarikat berkenaan kini berada dalam kawalan bailif di Luxembourg, sementara menunggu sebarang rayuan daripada Petronas, lapor Reuters.