Penampang Layak Dinaik Taraf Jadi Majlis Perbandaran – Masidi

angkat-sumpah-majlis-penampang.jpg
Kongsi Bersama

PENAMPANG: Majlis Daerah (MD) Penampang dilihat mempunyai kelayakan asas untuk dinaik taraf menjadi sebuah Majlis Perbandaran.

Oleh itu, pertimbangan akan diberi bagi membolehkan daerah ini dinaik taraf sebagai majlis perbandaran.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, MD Penampang serta ahli-ahli majlis yang baharu dilantik perlu bermesyuarat dan membuat keputusan rasmi bagi mengemukakan cadangan penaiktarafan itu kepada kementerian.

“Kementerian akan menilai sama ada MD Penampang menepati semua kriteria yang diperlukan untuk menjadi sebuah majlis perbandaran.

“Sekiranya menepati semua syarat, kita akan bawa kepada Kabinet Negeri untuk pertimbangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-ahli Majlis Daerah Penampang, di  hari ini.

Beliau berkata, antara kriteria yang dilihat bagi penaiktarafan ini adalah kebolehan MD Penampang menjana hasil yang cukup untuk mentadbir daerah tersebut.

Masidi berkata, Pegawai Daerah Penampang memaklumkan biasanya tanpa pandemik, majlis daerah itu mampu menjana hasil lebih RM30juta setahun dan itu merupakan satu angka yang mampu melayakkan MD Penampang menjadi sebuah Majlis Perbandaran.

Diminta mengulas tentang tuduhan rasuah membabitkan majlis daerah, beliau berkata, tuduhan rasuah bukan hanya membabitkan MD Penampang sebaliknya, ia melibatkan banyak lagi majlis daerah lain.

“Cuma kebetulan saya berada di Penampang dan menyentuh perkara itu, sama ada betul atau tidak adalah soal lain. Keadaan ini memperlihatkan ada rasa tidak puas hati dalam kalangan pembayar cukai iaitu rakyat biasa..itu yang buat saya risau.

“Kalau mereka (rakyat) senang hati dan puas dengan perkhidmatan, saya fikir mereka tidak akan membuat tuduhan tersebut,” ujarnya.

Oleh itu, pengurusan di peringkat majlis daerah perlu mengelakkan tuduhan tersebut menjadi kenyataan.

Mengenai lantikan Ahli-ahli Majlis Daerah di Sabah, Masidi berkata, semua daerah telah melantik ahli-ahli majlis dan sekarang mereka dalam proses penyerahan watikah pelantikan yang sedang rancak dilakukan di semua daerah.

Beliau turut mengingatkan semua ahli-ahli majlis yang dilantik tidak melihat pelantikan itu sebagai pengiktirafan kepada sumbangan mereka dalam politik sebaliknya, menjadikan lantikan itu untuk melaksana tugas dengan penuh amanah.

“Kita harus menjadikan pelantikan itu sebagai satu lantikan untuk bertugas. Ini yang kita cuba tegaskan dalam semua pelantikan bahawa ini satu amanah, bukan hadiah kerana berpolitik,” jelasnya.

Dalam majlis itu, seramai 20 orang Ahli-ahli Majlis Daerah Penampang yang telah dilantik mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan bagi sesi 2020-2022.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top