Pemutihan PTI Di Sabah Hanya Jika Ada Permintaan Dari Majikan

PTI-ladang.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat hanya melaksanakan cadangan pemutihan pendatang tanpa izin di Sabah dan Sarawak, jika ada permintaan dari majikan sektor perladangan dan pembinaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata dalam kes Sabah, perbincangan perlu dibuat di antara Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Pejabat Perdana Menteri dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Perbincangan itu sudahpun dibuat bagi penubuhan jawatankuasa khas yang akan mengendalikan perkara berkenaan.

“Ini untuk memastikan bahawa pengurusan dan hasil operasi juga akan menjadi sebahagian daripada strategi untuk mengurangkan kehadiran pendatang tanpa izin di Sabah,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Kenyataan beliau sebagai maklum balas terhadap cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin mengenai pemberian pas sementara kepada pendatang tanpa izin.

Menerusi cadangan itu, kerajaan menimbang membenarkan pendatang yang tiada permit dan terperangkap di negara ini untuk bekerja dalam sektor perladangan kelapa sawit dan getah bagi tempoh masa tertentu.

Cadangan itu mengambil kira masalah kekurangan pekerja yang dialami pengusaha ladang kelapa sawit dan getah ketika wabak COVID-19 di negara ini.

Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata perbincangan terperinci di antara KDN, Jabatan Tenaga Kerja dan kerajaan Sabah juga perlu dilakukan, sebelum cadangan itu dilaksanakan di Sabah.

“PBS tidak mempunyai masalah untuk menyokong niat mulia program ini dengan syarat ia dilaksanakan sejajar dengan undang-undang imigresen dan buruh serta dikendalikan dengan baik dan telus. PBS akan memastikan bahawa syarat dan peraturan dipatuhi.

“Bagi pihak PBS dan sebagai wakil dalam kerajaan Persekutuan, kami meminta rakyat Sabah agar tidak mempercayai cubaan untuk memutar belit, khabar angin dan tuduhan tidak berasas berkaitan pengeluaran permit kerja sementara.

“Ini program jangka pendek bagi memenuhi permintaan tenaga buruh pada masa kini,” katanya.

Mengulas lanjut, Maximus berkata, cadangan kerajaan Persekutuan mengeluarkan permit kerja sementara itu langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah kekurangan buruh asing dalam sektor perladangan dan perindustrian, khususnya di Semenanjung.

Langkah itu, katanya, sejajar dengan permintaan majikan berikutan masalah kekurangan tenaga buruh yang membimbangkan pada masa kini.

“Kebanyakan negeri dilanda pandemik COVID-19 menyebabkan tenaga buruh tempatan berkurangan.

“Cadangan itu dipertimbang berdasarkan bilangan pendatang asing yang bukan saja semakin meningkat di pusat tahanan, bahkan melebihi kapasiti di beberapa negeri. Perkara ini sudah lama dipraktikkan.

“Berdasarkan undang-undang, sektor swasta melalui Jabatan Imigresen dan Jabatan Buruh boleh memohon untuk mengambil tenaga buruh sama ada dari pusat tahanan atau pasaran tenaga buruh tempatan, dengan syarat mereka mematuhi peraturan dan prosedur ketat yang ditetapkan KDN,” katanya.

Katanya, langkah itu memberi peluang kepada buruh asing di negara ini mendaftarkan diri dalam tempoh pengampunan dan seterusnya merekodkan data peribadi serta maklumat biometrik mereka.

“Mereka yang tidak tampil secara sukarela selama proses pendaftaran akan ditahan dan dihantar pulang ke negara asal dengan fasa pertama operasi untuk memenuhi permintaan tenaga buruh di Semenanjung,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top