Pemula Teknologi Dari Sabah Tembusi Pasaran Global

HAS-teknologi.jpg

Mazrie (dua kiri) bertukar dokumen Memorandum Persefahaman dengan Hairol semasa World Halal Business Circuit di Melbourne, Australia. Menyaksikan pertukaran itu ialah Zainudin Aman (kiri) dan Ketua Pegawai Komersial Perbadanan Pembangunan Halal Adly Mohamed (kanan).

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sistem digital CoreHalal Sabah bakal memperolehi lebih 100 langganan sedia ada menerusi pasaran besar Australia.

Dibangunkan oleh syarikat pembangunan aplikasi berpangkalan di Kota Kinabalu, Synxsoft Sdn Bhd, sistem itu yang dikenali sebagai Halal Assurance System (HAS) sudah mempunyai 65 pengguna perintis di Malaysia.

HAS menggunakan model hasil langganan yang mana pengguna akan dicaj melalui yuran berulang secara bulanan atau tahunan untuk menggunakan platform berkenaan.

Harga ditetapkan pada kadar yang rendah bagi memastikan ia adalah mampu milik kepada semua peringkat perniagaan halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Synxsoft, Mazrie Mahat, berkata sistem berkenaan direka bentuk secara spesifik untuk memudahkan perniagaan halal dengan menghapuskan tugasan secara manual dan mengelakkan ketidakpatuhan.

“Ia digabungkan dengan teknologi terkini seperti ‘blockchain’, kepintaran buatan (AI) dan beberapa elemen ‘internet of things’ (IoT).

“Teknologi yang berkuasa ini membolehkan perniagaan meningkatkan kawalan terhadap rantaian bekalan halal mereka dan meningkatkan keupayaan untuk mengesan produk,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mazrie yang juga pengasas CoreHalal berada di World Halal Business Circuit (WHBCC) di Melbourne, Australia untuk pelancaran HAS, pada Khamis.

CoreHalal juga bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CEO Halal Development Corporation (HDC) Hairol Ariffein Sahari untuk menjalin kolaborasi strategik yang disaksikan Setiausaha Tetap, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Zainudin Aman.

Kerjasama HDC dan Synxsoft membolehkan HAS disepadukan dengan Halal Integrated Platform (HIP) di bawah tawaran baharu mereka yang dikenali sebagai HIP Membership Pro.

Hairol berkata, HIP Pro membolehkan pengguna mempunyai akses tambahan kepada data yang tersedia dalam HIP, iaitu alat untuk mendapatkan bahan halal yang membolehkan pemilik perniagaan menguruskan operasi perniagaan halal mereka dengan berkesan.

Katanya, kerjasama dengan HDC membolehkan Synxsoft mengembangkan pasaran mereka secara global.

“Impak pandemik COVID-19 global telah mendorong lagi penerimaan teknologi digital untuk berkomunikasi dan menjalankan perniagaan secara maya, menjadikan dunia benar-benar tanpa sempadan.

“Ia amat penting untuk memanfaatkan era digital untuk semua pemain dalam industri Halal,” katanya.

HDC, sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri adalah penganjur WHBCC 2022 yang berlangsung selama dua hari sejak semalam.

Sementara itu, Zainudin Aman, berkata CoreHalal menjadi pemula teknologi yang pertama dari Sabah menembusi pasaran global.

“Seperti yang kita tahu, Halal ialah sebuah industri global yang mempunyai tempat di seluruh negara.

“Peluang CoreHalal sangat besar kerana belum ada platform digital yang menawarkan perkhidmatan sama setakat ini. Inilah kekuatan CoreHalal.

“CoreHalal sangat sesuai dengan proses audit untuk ‘Hazard Analysis and Critical Control Point’ (HACCP), Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan persijilan International Standard for Organisation (ISO),” katanya.

Beliau menambah, ia bakal menyediakan manfaat yang berganda kepada perniagaan halal kecil dan sederhana.

Selain CoreHalal, Zainudin berkata KSTI akan meningkatkan usahanya dan mengadakan lebih banyak program untuk pemula teknologi menerusi SCENIC. Kejayaan CoreHalal ini bermula dengan Pitchborneo, program yang disokong penuh oleh KSTI untuk melahirkan lebih banyak tech startup dan social entreprise yang berkualiti.

Ketika ini katanya, pembinaan bangunan Sandbox di Wisma Bandaraya masih dilaksanakan yang apabila siap nanti bakal menempatkan pemula untuk menguji idea mereka.

Pengurus Besar SCENIC, Viviantie Sarjuni, berkata sebagai sebuah entiti kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), SCENIC cuba untuk menyokong CoreHalal sebanyak yang mungkin.

“CoreHalal adalah pemula yang baru berusia dua tahun dan kita memahami kepayahan untuk tiga tahun pertama untuk mana-mana pemula teknologi bagi mengelak daripada tersungkur.

“CoreHalal dipilih dalam banyak program pemula oleh pelbagai agensi dengan setiap daripadanya mempunyai keperluan penyertaan yang berlainan.

“Apa yang mahu diberitahu ini kepada kita? Ia memberitahu kita bahawa CoreHalal adalah satu pemula yang serba boleh dan penyelesaian terbaik mereka yang berpotensi untuk sampai ke peringkat global.

“Ia satu kriteria yang setiap pelabur mahu mana-mana pemula harus memilikinya,” katanya.

Viviantie menambah, memiliki CoreHalal di peringkat dunia dapat membantu untuk mempelajari perspektif yang berbeza, corak dan tingkah laku pengguna di seluruh dunia.

“Apabila mereka kembali, mereka akan mempunyai pemikiran global, mungkin mengubah perspektif mereka dan mencontohi sesuatu yang mereka pelajari di luar yang boleh dibuat di Sabah dan menyelesaikan cabaran yang menekan di sini.

“Ia juga satu peluang kepada mereka untuk mewujudkan rakan kerjasama dan memulakan kolaborasi berpotensi dengan rakan sejawat antarabangsa,” katanya.

Kehadiran CoreHalal di Melbourne mendapat subsidi daripada Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC).

 

Sumber: The Borneo Post

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top