KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat terhadap Pemuda Parti Warisan Sabah yang mendakwa Skuad Sabil Pemuda UMNO Malaysia bakal mencetuskan peperangan dan memainkan sentimen agama di Sabah.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa laporan polis tersebut dibuat oleh Pengerusi Skuad Sabil Tenom, Herry Jhonson Kulipo yang juga ahli Pemuda daripada Bumiputera bukan Islam beragama Kristian yang turut disertai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tenom, Bobby Balang yang juga seorang Kristian.
“Jadi siapa sebenarnya yang bermain dengan isu agama?” soal beliau menerusi laman Facebooknya, hari ini berkaitan isu tersebut.
Terdahulu, Herry memaklumkan bahawa selama kursus Skuad Sabil baru-baru ini diadakan di Sabah, beliau adalah sebahagian dari peserta yang bukan beragama Islam.
“Jika benar tuduhan atau persepsi yang menyatakan Skuad Sabil ini lebih memainkan isu agama, sayalah orang yang pertama akan keluar. Selama kursus Skuad Sabil ini kami dididik tentang erti perjuangan yang tidak mengharapkan apa-apa imbuhan, menerapkan nilai keikhlasan serta kesetiaan tanpa menyentuh sensitiviti agama malah kami dididik dengan nilai saling menghormati.
“Antara yang paling menyentuh hati saya ketika krusus skuad sabil baru2 ini bila kami dididik tentang erti persahabatan sehingga hati lelaki boleh mengalirkan air mata apabila para sahabat meluahkan perasaan ketika ditinggalkan, malah perjuangan yang dahulu begitu ramai sahabat tetapi apabila kalah ditinggalkan.
“Inilah sebahagian dari didikan Skuad Sabil iaitu walau apa pun yang terjadi persahabatan tetap kekal dan ramai sahabat-sahabat yang beragama Islam sangat menghormati kami serta menyokong kami.”
Tegasnya, sepanjang kursus Skuad Sabil peserta tidak diajar sekalipun tentang peperangan selain hanya lebih ke arah mendidik tentang nilai kemanusiaan.
“Kadang kala bila kita berkata benar sekalipun pasti sukar untuk dipercayai. Betulkan? Apa kata anda yang tidak tahu mengenai Skuad Sabil ini datang untuk kursus sebagai bukti bahawa apa yang saya nyatakan ada kebenarannya, bukan berkata kosong tapi perlu ada buktinya dan anda mahu buktinya ikut kursus Skuad Sabil ini nanti.”
Dalam masa yang sama beliau menyeru isu agama tidak dijadikan modal politik.
“Kepada rakan-rakan di sebelah sana sudah-sudahlah bermain isu agama ini sebagai modal politik. Sepatutnya sewaktu menjadi kerajaan selama 26 bulan lalu tunaikan janji kepada rakyat.
“Ingin juga bertanya selama Warisan menjadi kerajaan para pendeta para pastor sudah dapat elaunkah dari kerajaan Warisan setelah mereka menjadi kerajaan? Bukan sudah dijanji?” ujarnya lagi. – UMNO Online