Pemuda UPKO Terkejut Dengan Kenyataan Maximus

felix.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyifakan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili amat mengejutkan rakyat Sabah.

Dalam laporan media baru-baru ini Maximus menggesa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak supaya tidak menghasut sentimen anti-Putrajaya.

Ketua Pergerakan Pemuda UPKO Felix Joseph Saang berkata, Maximus sepatutnya menyokong dan membantu Ahli-Ahli Parlimen dari negeri ini menuntut hak dan menyuarakan apa yang patut untuk kebaikan seluruh rakyat Sabah dan Sarawak.

“Maximus sepatutnya senada dengan sentimen rakyat Sabah bukannya mengambil pendekatan ‘tunduk kepada Putrajaya”.

“Harus difahami, kita bukan anti Putrajaya tetapi kita mahu kerajaan persekutuan memberi layanan sama rata terutamanya dari segi pengagihan peruntukan pembangunan serta hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Bagi pendapat saya, kenyataan-kenyataan ‘pedas’ Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak bukan bermakna mereka anti-Putrajaya atau menghasut rakyat supaya membenci kerajaan persekutuan tetapi untuk menunjukkan pendirian tegas mereka bahawa sudah tiba masanya Sabah dan Sarawak mendapat apa yang sepatutnya,” kata Felix.

Felix menambah, menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak pastinya mengetahui dan sedar bahawa lapan daerah termiskin di Malaysia adalah di Sabah.

“Beliau ini merupakan menteri dari Sabah, tidakkah beliau tahu bahawa Sabah masih terlalu jauh ketinggalan dari pelbagai aspek pembangunan? Sabah masih yang termundur dan terbelakang sekali dalam banyak perkara.

“Kenapa Putrajaya tidak boleh dikritik? Sejak bila menuntut hak Sabah ini dilabel sebagai menghasut? Kenyataan menteri ini sangat luar biasa, tidak masuk akal dan amat menyedihkan rakyat Sabah”, kata Felix

Beliau juga menyeru agar lebih ramai anak muda Sabah bangkit dan berani bersuara lantang menuntut hak-hak serta kepentingan wilayah Sabah.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top