KOTA KINABALU: Pemuda Umno Sabah menyokong ketuanya Datuk Seri Bung Moktar Radin memimpin jentera pilihan raya Barisan Nasional pada pilihan raya negeri akan datang, ketika 12 bahagian tidak berpuas dengan pelantikan itu semalam.
Ketua Pemuda Abdul Aziz Julkarnain berkata mereka menghormati keputusan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memilih Bung untuk mengetuai jentera gabungan itu.
“Pemuda Umno Sabah berikrar akan mempertahankan apa sahaja keputusan parti, dan memastikan jentera di peringkat akar umbi bekerja keras untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat pada BN,” katanya hari ini.
Beliau berkata Pemuda BN mesti bersedia merancang dan menghalusi aturan untuk pilihan raya itu.
“Mesti tumpu ke arah itu, dan menewaskan Warisan mesti jadi keutamaan,” katanya.
“Kami menggesa semua pihak menghormati keputusan pimpinan, dan kita mesti bergerak sama demi nasib dan kepentingan rakyat Sabah.”
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Abdul Rahman Dahlan, bercakap bagi pihak 12 pimpinan bahagian, berkata mereka tidak mahu seorang pemimpin yang perlu menghadiri kes mahkamah ats dakwaan rasuah berkempen untuk gabungan itu pada pilihan raya negeri.
Ketua Umno Tuaran itu berkata memilih Bung untuk mengetuai jentera gabungan itu seperti memberi peluru kepada pihak lawan.
Katanya, Umno Sabah mempunyai ramai pemimpin yang berkelayakan dan mampu membawa kemenangan untuk BN.