KUALA LUMPUR: Perwakilan Pemuda Umno Sabah mencadangkan usul agar parti itu memohon pengampunan penuh terhadap bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Pemuda Bahagian Kota Belud Samri Moksan berkata bekas perdana menteri itu boleh menyumbang kepada kebangkitan Umno, kerana ramai orang merinduinya.
“Bossku sangat dekat di hati rakyat Sabah, dan merupakan perdana menteri yang paling banyak melawat Sabah,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno. hari ini.
Najib, yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, pada mulanya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM120 juta selepas didapati bersalah dalam kes rasuahnya membabitkan RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah mengurangkan hukuman tersebut kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Najib telah memfailkan rayuan untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Notis rayuan difailkan pada 9 Julai, dan Mahkamah Rayuan telah menetapkan 7 Okt untuk pengurusan kes.