KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor didesak berundur supaya siasatan kes rasuah perlombongan mineral dikaitkan beberapa Adun negeri dapat dijalankan secara bebas dan telus.
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim (gambar) berkata sebagai ketua pentadbiran kerajaan negeri, Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu berkenaan.
“Berdasarkan video-video yang tular, ada dakwaan salah urus, penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pengurusan memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan SPRM sudah memanggil lima Adun Sabah dan bekas CEO Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon yang disyaki terbabit dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.
Menurut agensi itu, siasatan awal berhubung aduan terbabit membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa Adun Sabah.
Adun terbabit dipanggil susulan dakwaan skandal rasuah berdasarkan klip video memaparkan perbualan mereka yang disebarkan di sebuah portal.
Sebelum ini Hajiji berkata beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiapkan siasatan.
Sehubungan itu, Sufian menggesa satu siasatan menyeluruh dan bebas dilakukan terhadap SMM, selain hasil siasatan perlu didedahkan kepada umum.