KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyifatkan beras Madani dicadangkan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal seperti menyokong perbuatan kartel yang mencampurkan beras tempatan dan beras import.
Oleh itu beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak membenarkan cadangan beras putih Malaysia Madani itu dilaksanakan kerana ia akan menghapuskan terus beras putih tempatan yang lebih murah di pasaran.
“Jika wujudnya beras madani ini, saya yakin tidak akan ada langsung beras putih tempatan di pasaran. Sedangkan yang sekarang ini pun isu beras putih tempatan begitu susah untuk kita dapat,” katanya di Facebooknya semalam.
Katanya, pengenalan beras Madani akan menjadikan usaha menentang campuran antara beras tempatan dan import daripada dijual di pasaran seperti sia-sia.
“Kita perlu terus menentang kartel ini bukan menyokong apa yang mereka buat.
“Jangan tipu rakyat dengan beras Madani. Bila buat beras Madani, beras tempatan campur beras import dan dijual pada harga lebih tinggi daripada beras tempatan, saya percaya tidak akan ada lagi beras tempatan dijual langsung,” katanya.
Akmal turut mempersoalkan kewajaran cadangan itu kerana ia seperti membunuh pasaran beras tempatan yang dijual lebih murah berbanding beras Madani.
“Sebab apa?Peniaga ini daripada dia jual RM26 beras (putih) tempatan, baik dia jual RM30. Dia (dapat) untung lebih banyak,” katanya.
Sebelum ini Syed Abu Hussin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengumumkan, kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka mempersoalkan tindakan Syed Abu Hussin yang membawakan isu mengenai Beras Putih Malaysia Madani itu.
“Apakah locus standi Ahli Parlimen Bukit Gantang ini nak bercakap soal Beras Putih Malaysia Madani ini.
“Saya minta, nasihatkan Ahli Parlimen Bukit Gantang ini, mulut dia jangan lebih daripada kajian. Kalau nak bercakap, nak bagi kenyataan media, buat kajian betul-betul,” katanya.