Pemuda UMNO Mahu DAP Mohon Maaf Jika Mahu Lembutkan Hati Orang Melayu

dr-akmal.jpg

Kredit foto: AWANI

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: DAP perlu memohon maaf kepada Umno atas segala tohmahan terhadap parti itu kerana ia mengguris hati semua ahli sehingga kini, kata Ketua Pemuda Dr Muhamad Akmal Saleh.

Laporan FMT hari ini memetik Akmal sebagai berkata, permohonan itu perlu dibuat jika DAP mahu melembutkan hati orang Melayu dan Umno supaya memilih mereka pada PRN akan datang.

“Kalau mahu hati orang (Melayu ) lembut, DAP perlu mohon maaf dengan tohmahan dibuat sebelum ini kepada Umno,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno bagi sayap itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Di samping itu Akmal berkata, Pemuda Umno turut menuntut DAP membuktikan parti itu tidak mempunyai agenda perkauman dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.

“DAP perlu membuktikan segala tohmahan pemikiran, cakap-cakap DAP anti-Melayu, anti-Islam, rasis, komunis ‘centric’, tidak sama-sekali akan berlaku dalam kerajaan perpaduan.

“Kena jujur, kenapa dengan GPS (Gabungan Parti Sarawak) boleh buat, kenapa bukan dengan kita. Kalau betul-betul suci menjalinkan tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik segala tohmahan kepada Umno dulu. Tiada selindung lagi, kita kena jujur…inilah luahan hati akar umbi,” katanya.

Akmal yang juga Adun Merlimau menegaskan, meskipun Umno dan DAP kini menjadi antara 19 komponen parti membentuk kerajaan perpaduan, terdapat “garisan” yang perlu dihormati.

Katanya, Umno tidak sesekali akan menjadi DAP dan mengikut rentak parti itu.

“Umno tidak akan sesekali menjadi DAP, dan kita tidak pernah minta DAP menjadi Umno. Pemuda akan pastikan yang Umno tidak akan menjadi DAP.

“Ini sumpah dan ikrar Pemuda, kita takkan sesekali berkompromi. Pemuda Umno ingin tegaskan kita bersama kerajaan perpaduan atas faktor titah Agong untuk kestabilan negara.

“Kita berkongsi ruang pentadbiran, tetapi bukan ruang fahaman. Kita rentas politik kepartian, tapi kita sempadankan prinsip perjuangan. Kalau ada yang berani melintas, Pemuda Umno yang pertama akan datang mencantas,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top