Pemuda UMNO laung amaran: Tindakan ‘agresif’ jika suara tidak diendahkan

dr-akmal.jpg

Dr Akmal

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berikrar untuk membawa suara ahli-ahlinya daripada sesi bedah siasat yang dijalankan malam tadi mengenai kemelut enam pilihan raya negeri baru-baru ini, kepada perhatian pemimpin tertinggi parti itu.

Berucap kepada lebih 1,000 ahli Pemuda Umno yang berhimpun di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur, Akmal menggesa perbincangan secara aman, pada masa sama menyampaikan amaran kepada pemimpin tertinggi Umno.

“Saya beri jaminan hari ini kita boleh bincang cara baik, secara ilmiah. Keluar dari sini apa kita bincang, keep it to ourselves.

“Let me bring your voice. To the upper level. Jika tak ada apa apa berlaku, baru kita bertindak agresif. Setuju,” kata Akmal ketika berucap pada majlis perasmian untuk memulakan sesi perbincangan yang akan diadakan secara tertutup.

Akmal juga membayangkan perhimpunan anggota Pemuda Umno dari seluruh negara itu diadakan sebagai tindakan balas terhadap seorang pemimpin kanan parti yang tidak dinamakan, yang didakwanya lantang membantah kritikan awal mereka yang dibuat sejak hari pengundian Sabtu lalu.

“Dia minta Pemuda hormati saluran, maka kita hormat saluran.

“Dia minta Pemuda Umno jangan kurang ajar, kita hormat, kita tak kurang ajar. Kita berbincang secara betul, baik-baik.

“Tapi kalau suara Pemuda tidak didengar? Maka berhadapan lah dengan suara Pemuda Umno seluruh Malaysia,” katanya.

“Saya tak akan pernah takut. Tak akan pernah gentar untuk bawa suara Pemuda Umno semua. Ini janji saya, kerana apa?

“Ini bukan soal Dr Akmal sebagai Ketua Pemuda Umno. Ini soal masa depan Umno dan generasi kita yang jauh lebih penting dari jawatan saya,” jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Akmal menegaskan Umno merupakan milik setiap ahli dan oleh itu mereka mempunyai kewajipan untuk mengembalikan parti itu kepada kejayaannya dahulu.

Adun Merlimau itu juga berkata dia akan menerima sebarang penjelasan yang diberikan ahli malam ini untuk menilai prestasi hambar Umno pada PRN lalu – yang menang 19 kerusi dari 108 DUN yang ditandinginya di enam negeri.

“Saya berani letak jawatan sebagai ketua Pemuda Umno (jika majoriti kata saya punca kekalahan Umno).

“Sebab yang lebih penting adalah survival Umno itu sendiri,” katanya.

Untuk rekod daripada 19 ADUN UMNO yang menang pada PRN baru-baru ini, hanya seorang dari sayap Pemuda iaitu Suhaimizan Bizar (Gemencheh).

Berita asal: Malaysiakini

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top