KUALA PENYU : Menyedari tanggungjawab terhadap jasa serta sumbangan petugas barisan hadapan dalam menangani penularan Covid-19 yang sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Beaufort tampil mengulurkan sumbangan kepada golongan berkenaan.
Penolong Setiausahanya Fadthul Radzi Lee berkata walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa namun atas rasa tanggungjawab menghargai serta memberikan sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bukan sahaja berhadapan dengan wabak Covid-19 namun keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini .
“Kita memahami setuasai yang mereka hadapi ketika ini, justeru Pergerakan Pemuda Umno bahagian Beaufort hari ini kita bergerak menghulurkan sedikit bantuan kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada petugas-petugas di beberapa sekatan jalanraya di kawasan Parlimen Beaufort.
Rombongan yang diketuai oleh Naib Ketua Pemuda Umno bahagian Md Rashid Mathon itu turut disertai oleh Setiausaha Umno bahagian Abdul Rahman Mohd Taib, Setiausaha Kerja Umno bahagian Ak Mohd Izzan serta beberapa orang ketua pemuda cawangan Umno.
Antara barang barang yang disumbangkan ialah keperluan makanan, air mineral, pelitup muka (facemask) dan lain-lain yang merupakan sumbangan pergerakan pemuda sendiri dan juga sumbangan dari Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort Awang Aslee Lakat.
Menurut Fadthul dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini pergerakan pemuda wajar tampil ke hadapan menghulurkan bantuan dalam apa sahaja bentuk yang mampu.
“Kita tidak mahu wujud persepsi masyarakat di luar sana bahawa pergerakan pemuda tidak cakna dengan isu-isu semasa atau syok sendiri dan hanya dilihat berperanan semasa pilihan raya,” katanya.
Fadthul berkata prasepsi ini perlu ditangkis dan pemuda perlu bergerak dalam komuniti setempat agar peranan serta sumbangan sayap itu dapat dilihat dan dirasai oleh masyarakat setempat.
“Dengan pelbagai program yang kita lakukan meskipun dalam skala kecil ianya akan membawa kesan kepada masyarakat khususnya golongan muda dan sudah pasti mereka akan lebih dekat dengan parti,” tambah Fadthul.