Pemuda PKR Sabah Dakwa WARISAN, PEJUANG Cuba Lemahkan Pembangkang

ahuar.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda PKR Sabah Raymond Ahuar membidas kenyataan Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal bahawa pembangkang akan gagal pada pilihan raya akan datang jika diketuai kepemimpinan yang sama.

Beliau berkata, Warisan dan Pejuang yang dipimpin bekas pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad cuba melemahkan pembangkang dan tidak mahu bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai satu gabungan.

“Pembangkang yang ada hari ini yang diketuai PH merupakan barisan pembangkang yang kukuh.

“Malah lebih teruk, Warisan dan Pejuang tidak menyokong beberapa usaha pembangkang di Parlimen hanya kerana masalah peribadi bersama beberapa pemimpin PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Shafie berkata, pembangkang akan gagal pada pilihan raya akan datang jika masih diketuai kepemimpinan sama.

Shafie berkata, perubahan perlu dilakukan secara menyeluruh ke atas kepemimpinan yang ketika ini tidak menyatukan dan tiada arah.

Awal bulan ini, Ketua Whip Warisan Datuk Rozman Isli, yang juga Ahli Parlimen Labuan, meminta seorang pemimpin pembangkang baru dilantik supaya blok itu menjadi lebih kuat.

Rozman berkata, wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan anggota parti itu terhadap kepimpinan dan hala tuju blok pembangkang yang diketuai oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Raymond berkata, rakyat boleh menilai sikap Warisan serta Pejuang dan pihak mana yang cuba melemahkan pembangkang hari ini.

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai kekuatan, malah tidak mampu memperoleh 112 atau 50% sokongan Ahli Parlimen dalam pengundian Belanjawan 2021.

“Saya menyarankan lebih baik Shafie fokus untuk mengambil semula kerajaan Sabah daripada PN selepas beliau ditumbangkan, bukan kerana pengkhianatan, tetapi ditolak oleh rakyat baru-baru ini.

“Saya tidak menentang keputusan Shafie untuk melebarkan sayap Warisan ke Semenanjung atas semangat demokrasi, namun agak janggal bila beliau ingin membawa semangat ‘Unity’ yang beliau mainkan di Sabah sebelum pilihan raya negeri yang lalu ke Semenanjung,” katanya.

Katanya, Shafie dilihat gagal menyampaikan mesej sebenar ‘Unity’ dan tidak diterima oleh masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) di Sabah.

“Untuk pengetahuan, ‘Unity’ dilaksanakan oleh PKR sejak 1999 apabila menubuhkan sebuah parti nasional yang mempunyai ahli yang berbilang kaum dan agama.

“Hari ini PKR menjadi parti berbilang kaum terbesar di negara dengan lebih sejuta ahli,” katanya.

Raymond berkata, penyatuan pembangkang tanpa agenda peribadi mampu memperkukuhkan pakatan sedia ada.

Beliau menasihatkan Shafie supaya segera mencari titik persamaan untuk mengembalikan mandat rakyat yang diperolehi pada pilihan raya umum ke-14.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top