Pemuda PKR Sabah Bidas Pemimpin Warisan Dakwa MoU Punca PH Kalah Di Melaka

razeef.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pemuda PKR Sabah membidas Naib Presiden Warisan, Junz Wong yang mendakwa antara faktor kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka adalah kerana rakyat marah dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandangani gabungan itu dengan Putrajaya.

Ketuanya, Razeef Rakimin, berkata, melalui dapatan umum MoU itu jelas disokong rakyat bagi memastikan kestabilan politik dalam usaha negara keluar daripada pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.

Malah katanya, rakyat sedia maklum MoU yang ditandatangani itu tidak mengikat PH untuk bertindak sebagai semak dan imbang serta terus menegur dan mengkritik kerajaan jika berlaku ketirisan.

“Saya yakin Wong tahu beberapa Ahli Parlimen Warisan juga menandatangani MoU berkenaan, namun terpaksa akur dengan arahan Shafie Apdal untuk Warisan tidak bersama PH menandatangani MoU berkenaan sehingga Ahli Parlimen Silam mengambil keputusan meninggalkan Warisan.

“Adakah Wong maksudkan rakyat terlalu bodoh untuk menilai baik buruk MoU yang ditandatangani?

“Harus diingat, tanpa MoU sekalipun, Warisan tetap ditolak rakyat pada PRN Sabah tahun lalu yang menyaksikan kemenangan kerajaan GRS,” katanya dalam kenyataan.

Razeef turut mempersoalkan kenyataan Wong yang mahu kepimpinan PH ditukar sedangkan Warisan juga tewas pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Umum mengetahui Warisan tewas pada PRU14 dan hanya membentuk kerajaan setelah UPKO meninggalkan BN (Barisan Nasional) dan menyokong PH serta Warisan.

“Begitu juga bila Warisan tewas pada pilihan raya kecil (PRK) Kimanis dan terbaru kerajaan Warisan ditumbangkan rakyat Sabah pada PRN tahun lalu.

“Ini jelas membuktikan majoriti rakyat Sabah tidak pernah memilih Warisan dan sepatutnya kekalahan di ketiga-tiga gelanggang PRU, PRK dan PRN sudah membolehkan Warisan menukar pucuk pimpinan parti sendiri, namun sering sibuk meminta PH menukar pucuk pimpinan bagi menutup kelemahan sendiri.

“Saya yakin jika cadangan ‘tukar pimpinan’ yang dinyatakan Wong diterjemahkan di peringkat Warisan, Warisan mampu pergi lebih jauh.” – FMT/Sabah Post

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top