KOTA KINABALU: Para belia dan beliawanis Sabah dialu-alukan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) menerusi pendaftaran yang boleh dibuat secara online.
Ketua parti itu, Christoper Mandut berkata, keahlian ini terbuka kepada belia dan beliawanis yang berumur 18 tahun ke atas.
“Kini PBS menerima kemasukan ahli dengan hanya mendaftar secara online.
“Pendaftaran online ini bertujuan untuk memudahkan golongan muda menyertai PBS tanpa melalui proses yang panjang dan rumit,” katanya, yang juga Naib Presiden PBS dalam kenyataan media pada Isnin.
Bagi pendaftaran secara online, ia akan diperakui oleh Ketua Bahagian dan Setiausaha Bahagian masing-masing.
Maklumat lanjut boleh didapati menghubungi Ketua Bahagian PBS mengikut daerah.
Christoper yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (HESS) berkata, PBS merupakan platform yang terbaik bagi rakyat Sabah yang belum mendaftar untuk menjadi ahli kepada mana-mana parti.
Ini berdasarkan kepada usia dan rekod perjuangan parti yang telah terbukti, tambahnya.
Di Sabah, PBS mempunyai 73 bahagian dan satu di WP Labuan.
PBS juga mempunyai cawangan di Lembah Klang, Johor Bahru, Penang dan yang akan dirasmikan tidak lama lagi iaitu Cawangan Ampang, untuk rakyat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia.
Selain itu, Pemuda PBS juga mengingatkan semua pihak agar terus memberikan tumpuan kepada memerangi Covid-19 dan melupakan seketika sengketa politik baik dari pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang kerana kerjasama rakyat amat diperlukan untuk menang terhadap Covid-19.