Pemuda PAS Sabah Komited Bantu Laksana Dasar Kerajaan Negeri

PAS-Hajiji.jpg
Kongsi Bersama

Oleh : Mustaman Bin Mustain

SANDAKAN : Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) komited menggerakkan seluruh jenteranya bagi membantu pelaksanaan dasar kerajaan negeri di peringkat akar umbi.

Ketua Pemudanya, Zulzaim Hilmee Abidin berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor semalam di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

“Sebagai sebahagian daripada parti pemerintah, kita akan berusaha membantu kerajaan negeri Sabah dalam memastikan usaha-usaha kerajaan membantu rakyat khususnya dalam suasana pandemik Covid-19 sekarang mencapai tahap yang terbaik,” jelasnya.

Katanya, ia termasuklah menyampaikan agenda kerajaan negeri berkenaan kempen vaksinasi, Pelan Pemulihan Negara dan usaha-usaha yang dibuat oleh kerajaan bagi membendung Covid-19.

“Pertemuan dengan rakyat mengikut SOP yang ditetapkan juga akan diadakan agar dasar-dasar ini dan usaha-usaha yang dibuat kerajaan negeri sampai kepada rakyat,”tambahnya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Ketua Menteri yang mengalu-alukan kunjungan mereka sekali gus memberi perhatian dan mendengar pandangan Pemuda PAS demi kebaikan anak-anak muda Sabah.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah pimpinan tertinggi DPPNS iaitu Timbalan Ketua Pemuda Ust Salman Amin, Naib Ketua Pemuda Hendri Hamsah dan Setiausaha Asmaidi Asbie.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top