BEAUFORT: Bulan Ogos dan September bagi rakyat Malaysia sinonim dengan sambutan bulan kebangsaan, iaitu meraikan hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun.
Sambutan bulan kebangsaan dengan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan merupakan salah satu medium yang sesuai untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Pengisian berkenaan sejarah dan tokoh-tokoh yang berjasa adalah antara perkara yang penting dalam memberi makna kepada sambutan bulan kebangsaan.
Selain mengenali tokoh-tokoh yang sering disebutkan dalam lipatan sejarah negara, masyarakat juga dilihat perlu untuk diperkenalkan dengan tokoh-tokoh setempat yang turut berjuang mempertahankan tanah air dan banyak sumbangannya kepada masyarakat.
Dalam hal ini, Dewan Pemuda PAS Kawasan Beaufort berpendapat bahawa sambutan bulan kebangsaan adalah masa yang tepat untuk memulakan inisiatif bagi memperkenalkan tokoh-tokoh tempatan yang nama mereka banyak diabadikan menjadi nama-nama jalan utama dan bangunan khususnya di daerah Beaufort.
Sebagai contoh, seperti Jalan Janang Gayuh, Jalan OKK Haji Asneh, Jalan Pak Musa, Jalan Tun Pengiran Raffae, Jalan Chung, Jalan Datuk Haji Sulaiman dan sebagainya, dari aspek sejarah dan sumbangan kepada masyarakat Beaufort.
Sehubungan dengan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Beaufort, Asrul Samat menyatakan bahawa inisiatif memperkenalkan tokoh-tokoh tempatan ini wajar untuk dilaksanakan agar masyarakat dan generasi pada hari ini bukan sahaja dapat mengenali mereka yang berjasa kepada daerah Beaufort, tetapi dapat menghargai nilai perjuangan dan pengorbanan, di samping menjadikan sumbangan mereka sebagai iktibar dan motivasi untuk terus memajukan diri serta membangunkan masyarakat.
Jelasnya lagi, kesan tinggalan sejarah yang ada di Beaufort seperti tugu bagi memperingati Prebet Tom Starcevich yang telah diberikan Anugerah Victoria Cross atas keberaniannya menentang Jepun, dilengkapi dengan sudut informasi yang menjelaskan sejarah ringkas tentang tokoh tersebut berhampiran dengan tempat tugu didirikan.
Ada baiknya juga jika diwujudkan sudut informasi dengan kaedah yang bersesuaian berhampiran papan tanda jalan yang mengabadikan nama-nama tokoh tempatan di Beaufort, agar masyarakat dapat mengenali dengan lebih dekat tokoh berkenaan lebih dari sekadar mengenali nama mereka. – sabah360online