TAWAU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa mereka cuba menjatuhkan Ketua Bahagian dalam parti, Datuk Hamild Haji Awang.
Terdahulu, terdapat kenyataan pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan bahawa Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Balung dan Naib Ketua Pemudanya mengadakan mesyuarat untuk tidak menyokong Datuk Hamild dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Balung, Fandi Ahmat menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan bertujuan memecahbelahkan perpaduan dalam parti.
Katanya, ia merupakan satu fitnah jahat yang ingin menjejaskan hubungan baik sayap Pemuda di bahagian Balung sekali gus mewujudkan perpecahan dalam kalangan Pemuda.
“Kami ingin menegaskan bahawa tiada sebarang usaha atau gerakan untuk menggugat kepimpinan Ketua Bahagian.
“Pemuda Gagasan Rakyat Balung menegaskan bahawa pihaknya tetap setia dan menyokong kepimpinan Datuk Hamild selaku Ketua Bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Mesyuarat Pemuda Gagasan Rakyat Balung, di sini pada Ahad. Turut hadir Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Balung, Ismail Sabran.
Menurutnya, semua pihak diseru supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin yang hanya akan melemahkan semangat perjuangan Parti Gagasan Rakyat Balung.
“Fokus utama kami adalah untuk memperkukuhkan parti serta membantu ADUN Balung memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” katanya.
— Utusan Borneo/Penerangan Gagasan Rakyat