Pemuda Amanah, DAP Bantah PH Guna Logo PKR Pada PRU 15

Logo.jpg
Kongsi Bersama

Pemuda Amanah membantah sebarang usul untuk memecahbelahkan semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan dengan mencadangkan penggunaan logo PKR pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Bantahan itu timbul selepas Kongres Pemuda PKR yang berlangsung pagi semalam, mencadangkan usul menggunakan logo PKR bagi mewakili PH pada PRU15 bagi menggembleng kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada gabungan itu.

Usul itu dicadangkan Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir ketika berucap pada kongres berkenaan.

Dalam kenyataan bersama lima ketua Pemuda Amanah iaitu Zulhafiz Zulkifli (Lembah Pantai), Anhdeer Supardy Lazuardi (Batu) Hafizzuddin Razian (Kepong), Mohd Nur Fadhil Ya’cob (Bandar Tun Razak) dan Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar (Bukit Bintang), menegaskan supaya parti komponen mengambil iktibar perpecahan dalaman PH.

“Ia berpunca daripada pengkhianatan sebahagian besar Ahli Parlimen daripada Bersatu dan PKR yang berkomplot dalam “Langkah Sheraton” yang merupakan tragedi demokrasi negara.

“Sebagaimana kesepakatan yang dipamerkan dalam persetujuan satu logo ketika PH dihalang pendaftarannya pada zaman PRU14, begitu jugalah kesepakatan yang perlu ditonjolkan dalam menggunakan logo PH yang kini sah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM),” kata mereka.

Mereka berkata, konsensus menggunakan logo PH memberi keyakinan kepada masyarakat umum bahawa parti komponen PH terus serasi dan setia dalam cita-cita yang sama mengembalikan mandat rakyat dan membawa keluar Malaysia daripada kesan buruk penularan wabak Covid-19.

“Kami juga menggesa Ahli Parlimen Amanah, DAP dan PKR yang tidak terlibat dalam episod pengkhianatan rakyat ini kekal dalam kesatuan PH dan teguh dengan prinsip untuk berjuang membela nasib rakyat daripada kebejatan kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional dan Barisan Nasional,” kata mereka.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Howard Lee, berkata usul membawa cadangan untuk menggunakan logo PKR, adalah sesuatu yang ditolak oleh mereka sebulat suara.

“Cadangan ini sememangnya – tanpa kira apa-apa niat di sebaliknya – adalah sesuatu yang tidak wajar serta mempunyai nada untuk mengkhianati penyokong serta parti komponen PH.

“Kami tidak boleh terima retorik ini yang boleh memutuskan silaturahim, mencacatkan persaudaraan, dan membunuh kesepakatan antara pendukung PH dan cadangan ini adalah satu contoh yang mengundang ke arah pemecahbelahan itu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, penggunaan PH tidak diharamkan, tidak dilarang pemakaiannya, dan masih disokong oleh penyokong dan rakyat majmuk sambil mencadangkan perkara itu sepatutnya dibahaskan terlebih dahulu secara dalaman dan di peringkat tertinggi.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top