Pemimpin Warisan Pertikai Status Hajiji Sebagai KM Selepas Keluar Bersatu

hajiji-leiking.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kedudukan Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai ketua menteri Sabah dipersoalkan susulan tindakan beliau dan beberapa pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti itu.

Menurut FMT, perkara itu dibangkitkan oleh Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking.

Menurut laporan itu lagi, Leiking turut mempersoalkan sama ada Hajiji mempunyai sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, yang kini perlu diuji mengikut perlembagaan negeri.

Leiking juga berpendapat, empat Ahli Parlimen yang juga ahli Bersatu Sabah perlu mengosongkan kerusi mereka di bawah undang-undang anti-lompat parti, jika mereka keluar parti.

Mereka adalah Datuk Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) yang semuanya bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Terdahulu, Hajiji mengumumkan beliau dan pemimpin Bersatu Sabah lain meninggalkan parti itu, tetapi kekal sebagai ahli GRS yang diketuainya dan mereka akan menubuhkan parti tempatan baharu.

Bagaimanapun, Leiking menjelaskan mereka semuanya ahli Bersatu, yang diketuai Muhyiddin Yassin, dan peletakan jawatan mereka melanggar undang-undang anti-lompat parti.

Leiking turut mempersoalkan kedudukan Armizan dan Khairul Firdaus yang masing-masing dilantik menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak serta timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya.

“Sekiranya terdapat sebarang kekaburan, ini mesti dijelaskan, jika tidak keseluruhan proses dalam menggubal undang-undang anti-lompat parti tiada gunanya.”

Beliau berkata, Hajiji kini tidak mempunyai parti dan kedudukannya tidak jelas selepas meninggalkan Bersatu.

“Bukankah beliau patut kembali ke DUN untuk menguji majoritinya?” kata Leiking.

Beliau juga mencadangkan Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menarik balik pelantikan Hajiji dan meminta semua ADUN menyuarakan pendirian mereka.

GRS menyokong kerajaan persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun, Bersatu yang menganggotai Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang di Parlimen.

GRS ditubuhkan selepas pilihan raya negeri pada 2020 yang dianggotai Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

GRS dan Barisan Nasional Sabah membentuk kerajaan negeri yang memiliki 38 daripada 73 kerusi DUN, di mana 15 daripadanya dimenangi GRS, BN (14) dan PBS (7).

Menurut FMT pihaknya cuba menghubungi pegawai Hajiji untuk mengulas.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top