KOTA KINABALU: Lagi pemimpin Umno Sabah kecewa dengan kadar rendah vaksinasi di negeri itu.
Kelmarin, bekas ketua menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak menggesa Putrajaya menumpukan perhatian terhadap proses pemberian vaksin di Sabah kerana terlalu lama kadar vaksinasi di negeri itu tertinggal jauh ke belakang berbanding negeri lain.
Semalam, Setiausaha Umno Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin berkata, pengagihan vaksin ke Sabah harus adil dan seimbang, khasnya dengan negeri itu mempunyai 2,758,400 penduduk yang layak menerima imunisasi.
Beliau mendakwa kerajaan persekutuan tidak adil dalam pengagihan vaksin yang turut mencerminkan pengurusan lemahnya dalam pelaksanaan program vaksinasi.
Beliau menggesa Putrajaya mempercepatkan bekalan vaksin ke Sabah, selain bersikap telus dalam isu itu kerana ramai penduduk di negeri itu belum mendapat janji temu vaksinasi.
Seperti kenyataan Salleh, Jafri juga mendakwa Putrajaya menyebabkan kadar vaksinasi di Sabah jauh ketinggalan berbanding negeri lain di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Sehingga 17 Julai lalu, kadar vaksinasi hanya mencecah 13%, membabitkan 358,592 penduduk,” katanya dalam kenyataan.
Untuk mencapai 40% kadar vaksinasi, beliau berkata, Sabah perlu mendapat sekurang-kurangnya 1,489,536 dos antara sekarang hingga pertengahan bulan depan untuk memberi vaksin kepada penduduknya.
Katanya, usaha negeri itu untuk pemulihan ekonomi hanya boleh dicapai menerusi vaksinasi rakyatnya secara berkesan.
“Kebergantungan Sabah dalam industri pelancongan cukup tinggi, tetapi demi membuka semula sektor berkenaan, kita perlu mencapai sekurang-kurangnya 60% kadar vaksinasi.
“Jika kita dapat mencapai imuniti kelompok pada Oktober ini, kita pasti dapat memulakan semula pelancongan domestik, disusuli pembukaan semula sempadan negeri kepada pelancong antarabangsa,” ujarnya.
Berita asal: FMT