SANDAKAN: Pemimpin di Sabah dan Sarawak diminta untuk berkerjasama bagi memastikan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) segera ditunaikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong berkata Sabah dan Sarawak perlu menetapkan pendirian agar semua perkara yang termaktub dalam perjanjian tersebut tidak dilengahkan oleh kerajaan pusat.
Menurutnya, kerajaan pusat tidak boleh melengahkan lagi perlaksanaan perjanjian itu dan tiada pilihan selain memastikan 20 perkara yang terkandung dalam perjanjian itu ditunaikan.
“Perjanjian tersebut sudah begitu lama sejak tahun 1962 diwujudkan dan 1963 dimeterai.
“Sudah tiba masanya dituntut dan diperjuangkan hingga ia dapat ditunaikan kerana itu adalah hak orang Sabah dan Sarawak”,katanya dalam kenyataan medianya, di sini kelmarin.
Katanya, jangan hanya beri janji manis semasa dekat musim Pilihan Raya sahaja supaya rakyat gembira dan apabila selesai janji itu sudah hilang.
“Jangan pula sebelum ada jawatan berhempas pulas menuntut MA63 tetapi bila ada kedudukan, tidak tahu kemana hala tuju tuntutan tersebut,” katanya.
Justeru, Calvin menyeru agar mana-mana pihak yang bersungguh-sungguh menuntut MA63 tersebut sebaiknya tetapkan pendirian dan beri perhatian sepenenuhnya.
“Hal ini kerana, tuntutan itu bukan tujuan lain tetapi bagi memastikan hak rakyat Sabah dan Sarawak terbela.
“Sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, kita perlu berkerja dan pastikan tuntutan rakyat kita suarakan dengan lantang jika ada peluang”, katanya. – Utusan Borneo