Pemimpin PKR Nafi Dakwaan Umno-Anwar Bincang Tubuh Kerajaan Baharu

tian-chua.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Pemimpin politik menolak dakwaan seorang penganalisis politik mengenai kumpulan dalam Umno yang pro-kerajaan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, dakwaan penganalisis itu “agak tidak masuk akal” manakala kedua-dua Naib Presiden Umno, Datuk Seri Khaled Nordin dan ahli Majlis Kerja Tertinggi parti tersebut, Datuk Seri Alwi Che Ahmad berkata, dakwaan itu “karut”.

Sumber dalaman parti PKR yang enggan dikenali berkata, dia tidak maklum mengenai perbincangan sedemikian dengan pemimpin Umno. FMT sedang menunggu jawapan lima daripada 10 menteri Umno dalam Kabinet berhubung isu itu.

Dakwaan mengenai rundingan itu dibuat oleh penganalisis politik James Chin menerusi Twitter semalam.

Dia yang menyokong langkah itu berkata, isu penyatu utama adalah DAP tetapi yakin bahawa persetujuan boleh dicapai jika “ada kemahuan untuk menahan seseorang dalam penjara”.

Tian Chua memberitahu FMT: “Saya tidak tahu dari mana dia (penganalisis itu) mendapat maklumatnya. Kalaupun ada perbincangan, kita perlu menafikan dakwaan ini. Kemungkinan selalu ada dalam politik, tetapi mesti ada perkara asas mengenainya.

Beliau mempersoalkan apakah kemungkinan motif pemimpin Umno yang sehaluan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan perbincangan dengan Anwar, yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan presiden PKR.

Tian Chua berkata, Ismail perlu berdepan tindak balas daripada Kabinet dan Umno jika dia “begitu tidak waras” untuk mengadakan perbincangan dengan Anwar mengenai kerajaan baharu.

“Mengapa Ismail perlu membentuk kerajaan bersama kami? Bagaimana PH boleh memberi manfaat kepadanya? Mengapa kita akan berbuat demikian? Adakah perbincangan itu mengenai sokongan kami kepadanya sebagai perdana menteri atau beliau mahu memberikan jawatan itu kepada Anwar?

“Selain itu mengapa kita perlu sokong Ismail? Dia tidak boleh mengawal harga ayam. Inflasi juga tinggi. Jadi kita ada isu yang bagus untuk dibangkitkan terhadap kerajaan. Mengapa kita akan menyertai mereka sekarang? Saya rasa tidak ada sebab untuk itu.”

Tambah Tian Chua, perbincangan mengenai pembentukan “kerajaan baharu” hanya akan menjana lebih banyak ketidakstabilan politik. Beliau meramalkan pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top