SEMPORNA: Presiden Warisan Shafie Apdal menepis cakap-cakap yang timbul apabila Ketua PKR Sabah Christina Liew dilihat keluar dewan bersama sekumpulan anggota PKR semasa acara pengumuman calon Warisan Plus semalam.
Katanya, kontroversi keluar dewan itu berlaku mungkin kerana salah tafsir sahaja.
“Dia tak keluar (begitu sahaja) sebenarnya. Saya tanya dia, kamu ada senarai tak? Tak, dia (Liew) ada urusan, dia kata.
“Mungkin salah tafsir. Pasal dia minta izin dengan saya, dia bagitahu, ‘Datuk Seri, saya ada program yang saya perlu uruskan’.
Saya bagitahu, ‘jalanlah’. Tak jadi masalah. Dia bukan keluar (begitu sahaja),” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra di Masjid Jamek Kampung Bantayan Semporna di Sabah.
Program itu disertai kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), imam kariah, imam rawatib, dan guru besar sekolah agama negeri, dan turut dihadiri pengarah JHEAINS, Saifulzaman @ Setibin Sangul.
Shafie terdahulunya sempat menunaikan solat Jumaat di masjid itu.