Pemimpin GRS persoal cadangan penubuhan JKDM oleh Kerajaan Persekutuan di Sabah

joniston.jpg

Datuk Joniston Bangkuai (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Apa perlunya ditubuhkan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) di Sabah sedangkan setiap kampung telah mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)?

Itu persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai dalam satu kenyataannya hari ini yang dipetik oleh The Star.

Bangkuai berkata, inisiatif Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menubuhkan JKDM itu menjejaskan peranan JKKK sedia ada yang beroperasi di bawah bidang kuasa negeri.

“Apakah rasional penubuhan JKDM?”

“Adakah keperluan untuk itu sedangkan kita sudah ada JKKK di setiap kampung?” tanya beliau.

Beliau berhujah bahawa tindakan sedemikian adalah bercanggah dengan intipati konsep Madani yang diketengahkan oleh Kerajaan Persekutuan, yang sepatutnya mengukuhkan persefahaman, kerjasama dan perpaduan di kalangan rakyat.

Bangkuai yang juga ketua penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan Ahmad Zahid yang merupakan presiden Umno mesti memperjelaskan kewajaran penubuhan entiti baharu itu kepada rakyat Sabah.

Selain itu, Bangkuai berpandangan bahawa langkah itu boleh dianggap mewakili taktik “pecah dan perintah”, yang bertujuan mengukuhkan pengaruh Umno di wilayah ini.

“Sepanjang pengetahuan saya, tidak ada JKDM di Sarawak, di mana Umno tidak ada (di wiayah itu),” katanya.

Walaupun belum ada pengisytiharan rasmi, Bangkuai berkata bahawa surat berhubung penubuhan JKDM di pelbagai DUN—yang didakwa ditandatangani oleh Ahmad Zahid—telah tersebar di platform media sosial.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top