Pemimpin DAP Tanya Kenapa Tak Laksana Vaksinasi AstraZeneca Di Sabah

Luyang-assemblyman-Phoong-Jin-Zhe-and-Sandakan-MP-Vivian-Wong.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Dua pemimpin DAP Sabah mempersoalkan tindakan kerajaan tidak memperluaskan pemberian vaksin AstraZeneca ke negeri berkenaan.

“Kenapa Sabah dikecualikan daripada kempen vaksinasi AstraZeneca?” tanya ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe.

Kata beliau, berbanding negeri lain, Sabah mempunyai kadar pendaftaran vaksinasi terendah di negara ini.

“Kenapa kerajaan tak tolong Sabah dapatkan vaksin lebih cepat? Fasa pertama (yang akan dilancarkan) membabitkan 268,000 dos dan fasa kedua 1.24 juta dos – ini lebih daripada 1.5 juta dos, tetapi tiada langsung untuk Sabah.

“Ini tidak logik, tidak boleh diterima dan mengarut,” kata beliau kepada FMT.

“Ingatlah Sabah bukan lagi negeri pembangkang. Mereka (Gabungan Rakyat Sabah) berjanji akan melindungi kepentingan Sabah di bawah Perikatan Nasional (PN).”

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong mendesak Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menjelaskan kepada rakyat mengapa kerajaan pusat dua kali mengabaikan Sabah berhubung vaksinasi AstraZeneca secara sukarela.

Beliau berkata, kerajaan negeri harus bersuara dan bertindak untuk mendorong pelancaran vaksin secara sukarela diperluaskan ke Sabah.

“Jangan terus berdiam diri dalam hal ini dan ikut saja arahan kerajaan persekutuan,” katanya sambil menambah tindakan berdiam diri memberi imej buruk kepada kerajaan negeri pimpinan GRS.

Bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, ketika menjawab soalan warganet di Twitter hari ini, berkata negeri berkenaan sudah memohon untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca.

“Sudah minta, belum perolehi,” katanya ringkas menjawab soalan mengapa pemberian vaksin itu tidak diperluaskan ke Sabah.

Pusingan pertama pendaftaran vaksinasi AstraZeneca secara sukarela dibuka 2 Mei lalu, dengan semua 268,000 slot di Selangor habis ditempah kurang empat jam.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini berkata, pendaftaran pusingan kedua vaksin AstraZeneca akan dibuka kepada individu berusia 60 tahun ke bawah di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Kuching dan Miri di Sarawak mulai tengah hari Rabu.

Phoong, yang juga Ketua Pemuda DAP Sabah, memahami kebimbangan orang ramai mengenai vaksin AstraZeneca.

“Namun, secara saintifiknya, manfaatnya (vaksin itu) melebihi risiko. Itulah sebabnya rakyat sangat terbuka mendapatkan vaksin, terutamanya golongan muda.

“Ini bukan tentang negeri mana yang mempunyai bilangan kes lebih tinggi, tetapi matlamatnya adalah memberi vaksin kepada semua orang sekarang berbanding kemudian dan mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.”

Beliau berkata, kerajaan Sabah harus menyampaikan mesej ini kepada Putrajaya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top