KUALA PENYU: Pemimpin UMNO di semua peringkat dingatkan agar memiliki sikap cakna terhadap komuniti setempat terutamanya golongan yang memerlukan bantuan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Pemangku Ketua UMNO bahagian Beaufort Awang Aslee Lakat berkata, sikap cakna ini penting dijadikan budaya agar setiap masalah yang dihadapi oleh golongan berkenaan dapat ditangani.
“Pemimpin di semua peringkat perlu rajin turun padang bagi memantau dan melihat sendiri keadaan yang dihadapi oleh masyarakat terutamanya golongan yang kurang berkemampuan atau isu isu pembangunan.
“Sekurang-kurangnya jika dapat diberikan bantuan segera bantu mereka atau sampaikan maklumat kepada pihak yang berkenaan untuk diambil tindakan selanjutnya” katanya ketika ditemui selepas mengadakan program ziarah ke Kampung Temporong dekat sini kemarin.
Semasa ziarah itu, Awang Aslee yang juga Setiausaha Ekesuktif UMNO Sabah turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada golongan yang kurang berkemampuan serta sebuah kerusi roda kepada salah seorang penduduk di kampung tersebut yang mengalami masalah kesihatan.
Menurut Awang Aslee lagi sikap cakna ini juga mencerminkan semangat kepedulian parti dan menjadikan UMNO sentiasa dekat di hati rakyat.
“Amalan sebegini juga membuktikan parti UMNO bukan hanya sekadar berfungsi ketika menghadapi pilihan raya atau pemilihan pucuk pimpinan parti,“ tambah beliau.
Dalam pada itu Awang Aslee menambah program ziarah tersebut akan diteruskan dari masa ke semasa bukan sahaja semasa negara masih berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19 bagi membantu golongan terkesan tapi program tersebut akan menjadi amalan bagi merapatkan hubungan silatulrahim antara kepimpinan UMNO bahagian dan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi.