KINABATANGAN: Pemilik restoran, dua pelanggan melecur selepas dapur gas di sebuah restoran di Kampung Gomantong Jaya, di sini, terbakar, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, pemiliknya, dikenali sebagai Rosmini, 44, melecur di muka leher dan kaki.
Sementara, dua pelanggan, Mohamad Sarkawi Saperi, 20, melecur di muka, kaki dan tangan, manakala Sabar Banto, 44 tahun, melecur 27 peratus di bahagian anggota badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada 3.19 petang.
“Sebaik tiba didapati, dapur gas di restoran itu terbakar 10 peratus namun api sudah dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.
“Pemeriksaan mendapati, sebelum kejadian, api tiba-tiba marak pada bahagian dapur gas berkenaan sebelum pemilik wanita cuba memeriksa lalu disambar api.
“Dua lelaki yang juga pelanggan kemudiannya cuba memantau kebakaran, namun turut disambar api,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 4.24 petang dan punca kejadian sebenar masih disiasat,” katanya. -HMetro