Pemilik Lot Kg Rukutan Tidak Puas Hati Diceroboh, Minta Permohonan Sejak 2015 Diberi Perhatian

Penduduk-kg-Rukutan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kira-kira 60 ketua isi rumah (KIR) di Kg. Rukutan, Manggatal, sini, mahukan tapak berkeluasan empat ekar itu diwartakan sebagai perkampungan yang sah setelah “dicerobohi” oleh penghuni baharu.

Osman Marajin, selaku ketua kampung berkata hal itu berlarutan sejak tahun 2019.

Katanya, beliau merupakan antara pemohon 60 lot pertama Kg Rukutan yang tidak berpuas hati selepas mengetahui baru-baru ini bahawa sijil perkampungan Kg. Tebobon Baru pada tapak yang bersebelahan bakal dikeluarkan.

Walhal, menurutnya, mereka telah memohon dari jabatan dan agensi kerajaan yang sepatutnya sejak 2015 namun tidak diendahkan.

“Kami telah memenuhi semua prosedur dan mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung pembinaan dan pewartaan Kg Rukutan sehingga pengagihan 60 lot kepada pemohon yang terbabit dalam proses mewujudkan kampung.

“Satu-satunya perkara yang masih tertangguh adalah untuk kami mendapatkan kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk membina rumah di atas 60 lot itu.

“Malangnya, satu-satunya maklum balas yang kami dapat daripada pigak DBKK ialah bahawa permohonan kami masih diproses.

“Namun kini pihak kami dapati kewujudan sebuah perkampungan baharu yang hampir mendapat sijil pengiktirafan Tanah Rezab,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menggambarkan kumpulan itu sebagai penceroboh di atas tanah yang dibeli mereka yang datang tanpa menunjukkan sebarang dokumen atau surat kelulusan daripada mana-mana pihak berkuasa.

Osman turut mendakwa kumpulan dengan kira-kira 20 KIR itu sebelum membina struktur-struktur mereka pada awal bulan ini telah merosakkan dan mencuri sebahagian struktur seperti pondok kayu dan pagar.

“Kami meminta pihak kerajaan menyelesaikan kemusykilan penduduk di kedua-dua kampung ini secara telus, ikhlas dan adil,” tambahnya.

Sementara itu Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Sabah (AGARAS), yang membantu menyuarakan masalah itu menggesa pihak berwajib khususnya Jabatan Tanah dan Ukur untuk memulakan siasatan.

Presidennya, Michael Frederick berharap siasatan dapat dimulakan dengan segera.

“Saya juga memohon pihak kerajaan untuk mempertimbangkan supaya tiada pihak-pihak pemimpin parti (politik) campur tangan dalam proses kelulusan bagi mana-mana permohonan tanah khususnya tanah-tanah perkampungan.

“Biarlah kita serahkan kepada pihak Jabatan Tanah untuk menjalankan tugas mereka,” katanya.

Beliau berkata ini kerana pemimpin lantikan parti ini sentiasa bertukar ganti dan ini akan membantutkan mana-mana proses tanah sekiranya adanya campur tangan mereka kerana “masing-masing mahu menjaga pengikut-pengikutnya”.

“Ini akan menggendalakan pemohon awal yang pada dasarnya telah mengikut prosedur sedia ada,” jelasnya.

Katanya lagi, sebuah laporan polis telah dibuat bagi menyiasat dokumen-dokumen yang meragukan bagi proses mengeluarkan Sijil Tanah Rezab Kampung Kg Tebobon Baru.

“Surat bantahan ketua kampung bagi membatalkan sijil tersebut juga telah dihantar ke Pejabat Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Penolong Pemungut Hasil Tanah Kota Kinabalu, Pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Negeri Sabah,” tambahnya.

 

Berita asal: Sabah News


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top