Pemilik Kedai Makan Minta Dibenarkan 2 Pelanggan Semeja

kedai-makan.jpg
Kongsi Bersama

Pemilik kedai makan dan kedai kopi berpuas hati dengan lanjutan tempoh beroperasi sehingga jam 10 malam, namun menggesa turut diberi kelonggaran membenarkan pelanggan duduk makan di premis mereka.

Ho Su Mong, presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) berkata ahlinya berharap kerajaan membenarkan pelanggan duduk dua semeja di kedai makan.

Persatuan itu yang mempunyai 20,000 ahli berkata, lanjutan waktu operasi bererti mereka mampu meningkatkan pendapatan sehingga 10%; dan membenarkan pelanggan duduk makan di premis pula dapat menambahnya 10% lagi.

Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu berkata, lanjutan waktu operasi hanya satu daripada beberapa permintaan dikemukakan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Setiausaha agungnya Mohamed Zamri Mohammed, berkata sebagaimana pasar basah dibenarkan beroperasi, mereka turut meminta pasar malam dan pasar pagi dibenarkan beroperasi, selain untuk pelanggan dibenarkan duduk makan.

Beliau turut mempertikaikan dwistandard dalam membenarkan pasar basah beroperasi tetapi bukan pasar malam.

“Apa bezanya? Sama seperti pasar basah, kami akan mematuhi SOP ketat dengan mengambil suhu, menawarkan pensanitasi tangan dan mengkhususkan laluan keluar masuk,” katanya kepada FMT.

Katanya, peniaga mempunyai pengalaman mematuhi SOP selepas perintah kawalan pergerakan pertama dari Mac hingga Mei tahun lalu.

Zamri berkata, persatuan itu yang mempunyai 200,000 anggota bukannya menentang kerajaan tetapi mengharapkan permintaan mereka dipertimbangkan demi kelangsungan hidup.

Terdahulu hari ini, Putrajaya mengumumkan restoran, gerai makan dan sebarang premis yang menjual makanan dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam berkuat kuasa esok.

Bagaimanapun, pelanggan masih tidak dibenarkan duduk makan di premis.

Ini susulan orang awam mengeluh waktu beroperasi kedai makan dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

Tan Suan Sear dari perkhidmatan penghantaran Delivereat menyuarakan rasa gembira dengan waktu operasi sehingga 10 malam.

Katanya, dengan itu pesanan terakhir pelanggan boleh dibuat pada jam 9.30 dan bukannya 7.30 malam.

“Ramai orang tidak boleh memesan makanan selepas jam 7.30 malam, dan itu amat sukar bagi mereka yang habis kerja lambat,” katanya.

Tindakan itu juga membolehkan restoran meraih pendapatan lebih ketika tempoh perintah kawalan pergerakan yang telah dilanjutkan sehingga 4 Feb, katanya. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top