Pemilihan Umno tidak semestinya ditangguhkan sehingga 18 bulan walaupun perlembagaan parti membolehkannya, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan presiden Umno itu berkata, pemilihan mungkin diadakan lebih awal jika kedaaan penularan wabak Covid-19 semakin baik.
“Berdasarkan perlembagaan Umno, kita boleh tangguh selama 18 bulan. (Tetapi) Tak semestinya kita perlu tunggu selama 18 bulan (untuk mengadakan pemilihan parti).
“Sekiranya situasi semakin baik, kita mungkin boleh mengadakan pemilihan lebih awal,” katanya sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.
Terdahulu hari ini, portal yang sama melaporkan Umno hampir pasti menangguhkan pemilihan parti itu selepas majoriti ahli Majlis Tertinggi (MT) bersetuju untuk menangguhkannya selama 18 bulan.
Menurut sumber yang juga ahli MT Umno, keputusan itu dibuat berdasarkan perlembagaan parti dan kata sepakat dicapai melalui satu resolusi yang dibuat secara dalam talian,
Ahli MT Umno, Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan perkara itu.