KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri mengesahkan beliau belum melihat surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkenaan kelulusan terhadap usul tambahan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang membenarkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail malah memberitahu beliau juga baru tiba dari urusan luar negara hari ini (Manila, Filipina) serta tidak pernah berkomunikasi dengan mana-mana pihak berhubung perkara tersebut.
“Saya tidak tengok lagi surat itu. Jadi to be fair (untuk berlaku adil), bagi saya prepare (buat persediaan) untuk saya berkomunikasi dengan pihak yang disebut.
“Bagi saya peluang untuk tengok surat itu dulu,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Isnin.
Sementara itu lapor Utusan, Saifuddin menambah, beliau juga tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai surat RoS tersebut dan akan memanggil Ketua Setiausaha KDN dan pegawainya selepas melihat surat itu.
“Esok saya tengok surat itu, saya akan panggil KSU saya, pegawai saya, itu baru betul.
“Saya tidak akan membuat spekulasi sana sini, (tidak akan ikut) dia ni kata ada surat, dia ni kata tidak ada surat.
“Takkan saya nak buat kenyataan teraba-raba begitu,” katanya.
Sementara itu, Zahid juga berkata, melalui surat tersebut, Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan kepada Seksyen 13(1)(c)(14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
“Ertinya dalam surat yang diutuskan oleh KDN itu, ia merupakan satu keabsahan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno disahkan untuk tidak dipertandingkan. Ini kerana, semua peraturan mesyuarat telah diikuti oleh Pengerusi Tetap dan semua klausa dalam Perlembagaan juga telah diikuti oleh Pengerusi Tetap.
“Dengan itu, surat daripada KDN adalah memberikan pengesahan bahawa apabila RoS melakukan siastaan maka keputusan daripada Menteri KDN mengikut Perkara 70 di dalam Akta Pertubuhan 1966 adalah berkuatkuasa sepenuhnya dan memberikan keabsahan kepada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan,” katanya.
Ditanya mengenai tiada pengumuman daripada RoS mengenai perkara tersebut, Zahid berkata, pengumuman yang dibuat itu adalah daripada RoS yang disahkan oleh KDN.
Bagaimanapun, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Zahid menunjukkan surat daripada RoS itu susulan terdapat dua laporan media berbeza mengenai usul tambahan yang diluluskan PAU 2022 membabitkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan.
Dalam reaksi balas semalam, Zahid pula berkata, Umno sedia mendedahkan surat itu dengan harapan dapat menghentikan segala isu yang timbul berkaitannya dan mengesahkan bahawa tiada pemilihan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.- SUARA TV