LABUAN: Pemeriksaan imigresen lebih ketat yang baru dikuatkuasakan ke atas pengembara dari Labuan di terminal feri roll-on roll-off (ro-ro) Menumbok telah menyebabkan beratur panjang dan proses pelepasan feri tertunda.
Pemeriksaan kedua (selepas pintu keluar di terminal feri Labuan) dibuat ke atas setiap pengembara (penumpang dan mereka yang berada dalam kenderaan) dari Labuan sebaik tiba di pusat pemeriksaan terminal feri Menumbok.
Pemeriksaan ketat berkuat kuasa kelmarin itu, turut mewajibkan semua pengembara termasuk berasal dari Sabah datang lebih awal bersama dokumen perjalanan yang sah ke kaunter Imigresen sebelum menaiki feri ke Labuan.
Dewan Perniagaan Labuan (LCC) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Labuan (LICCI) dalam kenyataan bersama hari ini membantah pemeriksaan kawalan sempadan sebanyak dua kali sambil menyifatkannya sebagai penghalang kepada sektor pelancongan dan ekonomi Labuan.
Kedua-dua dewan perniagaan itu meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengkaji semula keperluan pemeriksaan imigresen di terminal feri Labuan dan Menumbok itu.
“Mengapa perlu diadakan dua kali pemeriksaan imigresen di dua pintu keluar terminal feri dari Labuan ke Menumbok, Sabah, yang mengakibatkan beratur panjang.
“Kita tidak membantah dasar baharu kawalan sempadan lebih ketat tetapi ia perlu lebih sistematik dan tidak menyusahkan pengembara terutama mereka yang mahu mendapatkan rawatan di hospital di Kota Kinabalu, warga emas atau mereka yang mempunyai anak kecil,” kata Pengerusi LCC Daniel Doughty pada Khamis.
Beliau berkata kawalan sempadan (antara Labuan-Sabah-Labuan) yang dikenakan ke atas rakyat Sabah yang bekerja dan menetap di Labuan adalah bertentangan dengan satu daripada perkara termaktub dalam perjanjian penyerahan Labuan kepada Wilayah Persekutuan pada 1984.
“Adalah dinyatakan dengan jelas perkara pertama dalam perjanjian penyerahan Labuan bahawa rakyat Malaysia berasal dari Sabah menetap di Sabah dan Labuan boleh melintasi dua sempadan dengan bebas.
“Berdasarkan maklum balas daripada komuniti perniagaan, pemeriksaan ketat akan memberikan kesan negatif dalam usaha membina semula ekonomi Labuan, khususnya pelancongan domestik,” katanya.
Beliau berkata hubungan sejarah antara Labuan dan Sabah adalah berdasarkan Perjanjian Malaysia (MA63).
Justeru, dewan perniagaan merayu kerjasama dan pertimbangan Jabatan Imigresen untuk mengkaji semula proses dan melaksanakan penyelesaian teknologi bagi menyelaraskan prosedur membabitkan rakyat Sabah berasal dari Labuan atau bekerja di Labuan.
Beliau berkata, pihaknya yakin dengan menghormati perjanjian itu akan meningkatkan lagi hubungan ekonomi dan sosial antara Labuan dan Sabah.
“Jika Labuan yang kini menjadi Wilayah Persekutuan dan tidak lagi termasuk dalam MA63, sekurang-kurangnya, kita harus mengakui dan menghormati Perjanjian Labuan iaitu orang Sabah boleh melancong secara bebas antara Labuan dan Sabah, bermakna perjalanan pergi dan balik tanah air tanpa bersusah payah,”katanya. – BERNAMA