Pemeriksaan di Pelantar Minyak Pastikan Rakyat Sabah Diberi Keutamaan, Pekerja Miliki Pas Kerja Sah

masidi.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di dua pelantar minyak di kawasan utara perairan Sabah pada Isnin lalu adalah bagi memastikan semua pekerja pelantar minyak memiliki pas kerja yang sah di negeri ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia juga bertujuan untuk memastikan rakyat di negeri ini diberi keutamaan untuk bekerja dalam industri minyak dan gas.

Dalam masa sama katanya, inisiatif itu juga adalah selaras dengan konsep ‘Sabah First’ yang terdapat dalam salah satu teras perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengutamakan tenaga kerja tempatan.

“JIM Sabah mula bertindak menguatkuasakan arahan dan dasar Kerajaan Negeri Sabah agar semua pekerja pelantar minyak mesti memiliki pas kerja untuk berkerja di negeri ini.

“Pemeriksaan ini juga bukan bertujuan untuk menghalang pelabur tetapi adalah untuk memastikan rakyat Sabah didahulukan dalam pengambilan pekerja dalam industri ini.

“Pas kerja hanya dikeluarkan sekiranya tidak ada orang tempatan (Sabah) yang mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

JIM Sabah pada Isnin lalu menyerbu dua buah pelantar minyak dalam satu Operasi Bersepadu Pelantar dan telah memeriksa seramai 311 orang terdiri dari 307 warganegara Malaysia; seorang warga Indonesia dan tiga warga Myanmar.

Serbuan itu dilakukan selepas keengganan dua buah syarikat minyak untuk membayar Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas produk petroleum kepada negeri Sabah.

Syarikat yang enggan membayar CJN berisiko untuk dibatalkan permit pekerja mereka jika gagal menjelaskan pada 1 Oktober.

Dua syarikat berkenaan ialah Repsol Oil and Gas Ltd dan SEA Hibiscus Sdn Bhd.

Dasar ‘Sabah First’ negeri adalah untuk memastikan rakyat Sabah diberi keutamaan dalam pengambilan pekerja dalam industri minyak dan gas terutamanya di semua kemudahan pengeluaran luar pesisir di perairan Sabah.

Pemeriksaan yang dijalankan JIM Sabah itu adalah bagi menyiasat pelanggaran kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002); Peraturan-peraturan Imigresen 1963; Akta Passport 1966; Akta Anti Pemerdagangan Orang (pindaan 2010) dan; Anti Penyeludupan migran 2007. – Sabah Media

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top