Pemergian Lajim Satu Kehilangan Besar – Bung Moktar

Bung-3.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pemergian bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin pagi tadi sebagai satu kehilangan besar buat rakyat negeri ini khususnya penduduk di kawasan Beaufort.

Beliau berkata, berita pemergian Allahyarham Lajim yang beliau anggap sebagai sahabat rapat sejak bersama-sama berada di barisan kepimpinan tertinggi SANYA satu ketika dahulu, sangat mengejutkan.

“ Allahyarham merupakan sahabat rapat saya, pernah bersama dalam kepimpinan persatuan dan parti UMNO sebagai ahli majlis tertinggi. Hari ini , saya kehilangan seorang sahabat yang baik. Saya bersama keluarga dan kepimpinan UMNO Sabah merakamkan ucapan takziah kepada Datin Seri Normilah Siong serta seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Sesungguhnya Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Beaufort sepanjang khidmat beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias dan Ahli Parlimen Beaufort,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Bung, sumbangan Allahyarham dalam pembangunan di negeri ini juga tidak boleh dinafikan melalui beberapa jawatan yang pernah beliau sandang di mana selain menjadi Timbalan Ketua Menteri sebelum ini, Allahyarham juga pernah menjadi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Menteri Pertanian di peringkat negeri,Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan di peringkat pusat.

“Kita mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga,” katanya.

Lajim menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.20 pagi tadi di Hospital Pakar KPJ setelah dirawat lebih dua minggu di hospital berkenaan di mana Alahyarham disahkan positif Covid-19 pada 12 Ogos lepas.

Allahyarham meninggal seorang balu dan 7 orang anak.

Jawatan terakhir Allahyarham ialah Pengerusi Ekesutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Jenazah Allahyarham dibawa balik ke kampung halaman Kampung Kabatu, Beaufort untuk dikebumikan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top