Pemecatan, Penggantungan Pemimpin UMNO: Hanya Tiga Bersetuju?

The-Star.jpg

Tangkap layar laporan The Star semalam.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Hanya tiga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan bersetuju dengan tindakan presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memecat dan menggantung beberapa pemimpin, manakala lima lagi ahli majlis tersebut membantah keputusan itu pada mesyuarat MKT Jumaat lepas.

Menurut The Star, yang memetik sumber, walaupun beberapa pemimpin UMNO memberi amaran kepada Ahmad Zahid supaya berhati-hati kerana tindakannya tidak mengikut proses sewajarnya, namun beliau tetap meneruskan langkahnya.

“Ahmad Zahid – dalam ucapan pembukaannya membuat pengumuman pemecatan Khairy dan senarai mereka yang digantung daripada parti.

“Bekas Ketua Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar segera bangun dan meminta beliau dipecat daripada digantung selama enam tahun. Zahid kemudian membalas: ‘Jika anda mahu itu, okay’,” lapor portal bahasa Inggeris itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudian didakwa berdiri dan berhujah bahawa pemecatan dan penggantungan mesti dibuat mengikut undang-undang dan proses yang sewajarnya.

“Ahli Parlimen Bera itu berkata, mereka yang berada dalam senarai itu perlu diberi surat tunjuk sebab dahulu, hak membela diri di hadapan Lembaga Disiplin, kemudian rayuan kepada pengurusan sebelum Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan.

“Ismail berkata menggantung dan memecat pemimpin dan ahli UMNO tanpa surat tunjuk sebab adalah tidak adil kerana mereka tidak akan dapat membela diri dan tidak tahu sebab mereka dipecat.

“Beliau berkata bahawa rakyat akan menilai UMNO dengan tindakan tidak mengikut proses yang sewajarnya ini seterusnya akan bertindak balas terhadap UMNO semasa pilihan raya apabila akar umbi mengundi sebagai protes,” tambah sumber itu.

Laporan itu mendakwa beberapa ahli majlis tertinggi yang lain turut bangun menyatakan tidak bersetuju dengan penggantungan dan pemecatan itu tanpa mengikut proses yang sewajarnya seperti yang termaktub dalam perlembagaan Umno.

“Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican juga bersuara dan berkata Khairy tidak sepatutnya dipecat dan merayu kepada Ahmad Zahid untuk menunjukkan belas kasihan.

“Bagaimanapun, selepas mereka bercakap, Ahmad Zahid menegaskan beliau tetap dengan apa yang diumumkan dan enggan berganjak,” kata sumber itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top